Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 58 peratus kepada RM436.61 bilion pada Oktober 2026, melepasi paras RM400 bilion buat kali pertama, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Eksport meningkat 61.1 peratus kepada RM239.20 bilion, manakala import berkembang 54.4 peratus kepada RM197.41 bilion berbanding bulan sama tahun lalu.
Kedua-duanya mencatatkan nilai bulanan tertinggi, dengan lebihan dagangan mencapai RM41.80 bilion, meneruskan rekod lebihan selama 78 bulan berturut-turut.
“Barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama apabila eksportnya meningkat 87.2 peratus kepada RM125.59 bilion, merangkumi 52.5 peratus daripada keseluruhan eksport negara,” menurut MITI.
“Pertumbuhan itu disokong permintaan global berterusan terhadap semikonduktor serta penerimagunaan teknologi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI).”
Eksport keluaran petroleum turut meningkat 92.9 peratus kepada RM16.92 bilion, manakala jentera, kelengkapan dan peralatan berkembang 45.9 peratus kepada RM9.68 bilion.
Eksport hasil galian pula naik 37 peratus kepada RM11.63 bilion, disokong kenaikan harga dan kuantiti eksport gas asli cecair.
Mengikut pasaran, eksport ke Taiwan melonjak 292.6 peratus kepada RM31.84 bilion, sementara eksport ke Amerika Syarikat meningkat 107.8 peratus kepada RM38.29 bilion.
Eksport ke ASEAN pula berkembang 53.9 peratus kepada RM65.54 bilion.
Bagi Januari hingga Oktober, jumlah perdagangan meningkat 33.2 peratus kepada RM3.348 trilion, dengan eksport RM1.811 trilion dan import RM1.536 trilion, menghasilkan lebihan RM274.81 bilion.
Menurut MITI, semua petunjuk utama perdagangan bagi tempoh itu sudah mengatasi pencapaian keseluruhan 2025.















