Human Rights Watch (HRW) menggesa Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mendesak pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing menghentikan pencabulan hak asasi semasa lawatannya ke Kuala Lumpur bermula hari ini, serta menangguhkan penghantaran pulang warga Myanmar lain.
“Kerajaan Malaysia, yang telah memberikan perlindungan kepada Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar selama beberapa dekad, perlu menghentikan penghantaran pulang selanjutnya dan menggesa pemimpin junta menghentikan pencabulan yang menyebabkan jutaan orang meninggalkan negara itu,” kata Pengarah Asia HRW Elaine Pearson.
Gesaan itu dibuat susulan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar pada 29 September sebagai fasa pertama rancangan melibatkan 5,000 orang.
Kerajaan Malaysia sebelum ini berkata proses itu bersifat sukarela, namun HRW mempersoalkan sama ada persetujuan diberikan secara bebas kerana mereka dibawa terus dari pusat tahanan imigresen.
Agensi Pelarian PBB (UNHCR) menyatakan pihaknya tidak terlibat dalam operasi atau kerja-kerja mengenal pasti individu yang dihantar pulang.
HRW menggesa Malaysia memberikan akses penuh kepada UNHCR di pusat tahanan bagi menilai keperluan perlindungan pelarian dan pencari suaka.
Menurut HRW, keadaan untuk kepulangan yang selamat, bermaruah dan sukarela belum wujud di Myanmar, di mana mereka mendakwa pihak tentera terus melakukan pencabulan serius.
Komuniti Rohingya turut berdepan risiko khususnya melibatkan penafian kewarganegaraan mereka serta keganasan dalam pertempuran antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan di Rakhine.
Seramai 3,524 orang telah diluluskan untuk fasa kedua, dengan Malaysia menunggu tarikh daripada Myanmar.
“Perdana Menteri Anwar perlu menghentikan kapal-kapal seterusnya sebelum berlayar, dan memberikan agensi pelarian PBB akses kepada pelarian serta pencari suaka,” kata Pearson.

























