Pengilang Amerika Syarikat yang beroperasi di Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan dari China dan meningkatkan perolehan tempatan bagi menyesuaikan operasi dengan tekanan tarif AS, menurut tinjauan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).
The Edge melaporkan, Tinjauan Impak Ekonomi terbaharu itu mendapati sembilan daripada 21 pengilang yang mendapatkan bekalan dari China telah mula mengurangkan kebergantungan tersebut, dan tiada pengilang yang bertindak meningkatkan pembelian selepas tarif berkuat kuasa.
Secara berasingan, 15 daripada 44 pengilang yang ditinjau menambah bahagian bekalan yang diperoleh dari Malaysia.
“Mereka mengubah sumber bekalan. Mereka mengubah harga. Mereka mengubah pengeluaran. Tetapi pada asasnya, mereka tidak mengubah komitmen. Mereka menyesuaikan diri, bukannya berundur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Malaysia Siobhan Das.
Menurutnya, 86 peratus pengilang menyatakan model asas perniagaan mereka tidak berubah secara ketara.
Sebanyak 7,087 pembekal tempatan menerima bayaran berjumlah RM19.32 bilion daripada pengilang yang ditinjau bagi tempoh 2024 dan 2025.
“Sebahagian daripada penyesuaian itu mewujudkan peluang di Malaysia,” kata Das.
Jumlah kos projek responden sektor pembuatan dalam operasi mereka di Malaysia pula mencapai RM42.86 bilion, hampir 51 peratus lebih tinggi berbanding tinjauan terdahulu.
Nilai itu merangkumi tanah, kilang, mesin dan infrastruktur yang tidak mudah dipindahkan dalam tempoh singkat.
Tinjauan turut mendapati 87 peratus responden sektor pembuatan menjangkakan pertumbuhan hasil dalam dua tahun akan datang, manakala 94 peratus bercadang mengekalkan atau memperluas operasi di Malaysia dalam tempoh lima tahun.
Tiada responden sektor perkhidmatan menyatakan hasrat untuk menarik keluar pelaburan dari negara ini.






















