Tentera Laut Diraja Thailand menuduh Kemboja melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Ottawa susulan penemuan periuk api serta dokumen latihan ketenteraan berhampiran sempadan kedua-dua negara, lapor The Nation.
Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand Laksamana Muda Paraj Ratanajaipan berkata Komando Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat (CTBDC) baru-baru ini berjaya menguasai semula sebuah kubu lama tentera Kemboja di kawasan Ban Nong Ree.
Beliau berkata, operasi pembersihan susulan membawa kepada penemuan 16 periuk api antipersonel buatan sendiri yang diubah suai daripada periuk api antikereta kebal dan didapati berada dalam keadaan sedia digunakan, sekali gus menimbulkan ancaman serius kepada anggota tentera dan orang awam.
Menurut Tentera Laut Thai, siasatan lanjut di Pangkalan Phlu Kdramrey, yang dikenali sebagai kawasan “tiga rumah”, turut menemukan dokumen ketenteraan Kemboja yang disifatkan sebagai bukti kukuh pelanggaran perjanjian antarabangsa.
Dokumen yang dirampas itu termasuk nota latihan penggunaan periuk api antipersonel PMN-2, bertarikh sehingga 7 Oktober 2024, yang memperincikan ciri-ciri, kaedah penanaman serta prosedur pelupusan bahan letupan berkenaan.
“Bukti ini jelas menunjukkan bahawa pasukan Kemboja secara sistematik dan berterusan melatih anggota mereka dalam penggunaan periuk api PMN-2. Ini bukan kejadian terpencil, tetapi mencerminkan niat jelas untuk menggunakan peperangan periuk api antipersonel terhadap Thailand,” kata Paraj.
Beliau turut menggesa Phnom Penh menghentikan tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan memberi jaminan terhadap keselamatan serta kestabilan serantau.













