ASIA
2 min membaca
Sanggup bayar RM6,000 untuk menyusup masuk kerja di Malaysia
Kegiatan haram itu dikesan susulan penahanan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.
Sanggup bayar RM6,000 untuk menyusup masuk kerja di Malaysia
Menurut Kamal Mohamad, kumpulan PATI yang ditahan merangkumi lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 51 tahun. / Foto: FB APMM / User Upload

Taktik licik sindiket penyeludupan manusia yang mengenakan bayaran mencecah RM6,000 bagi setiap warga asing untuk diseludup masuk ke Malaysia menerusi jalan laut berjaya dibongkar, menurut laporan Berita Harian.

Kegiatan haram itu dikesan susulan penahanan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kelantan Kamal Mohamad mendedahkan bahawa kumpulan PATI yang ditahan itu merangkumi lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 51 tahun.

Kesemua mereka mengaku membayar jumlah yang tinggi kepada ejen demi mendapatkan pekerjaan di sektor perkilangan di negara ini.

"Mereka mendakwa membayar RM6,000 seorang untuk menempuh perjalanan selama empat hari melalui jalan laut bagi bekerja di kilang," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali.

Penahanan tersebut dibuat hasil maklumat risikan yang membawa kepada pengesanan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan tanpa lampu di kawasan Sungai Kelantan pada waktu tengah malam.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot yang membawa PATI tersebut memecut laju dalam keadaan gelap gelita bagi mengelak daripada ditangkap, sebelum merapat ke tebing sungai untuk menurunkan penumpang.

"Bot bergerak laju dan berjaya meloloskan diri namun pada jam 12.20 pagi, kami dapat kesan bot tersebut merapat ke tebing dan menurunkan penumpang yang membawa kepada penahanan lapan PATI berkenaan," jelas Kamal lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa tekong bot sanggup mengambil risiko memandu dalam kelajuan tinggi melebihi 12 kilometer sejam dalam keadaan gelap yang berbahaya demi meloloskan diri daripada buruan pihak berkuasa.