Dua warga Thailand secara sukarela melepaskan kewarganegaraan Kemboja mereka, menurut perkenan diraja Raja Norodom Sihamoni, ketika konflik ketenteraan antara Kemboja dan Thailand terus memuncak di sepanjang sempadan kedua-dua negara, lapor Khmer Times.
Mereka ialah Poochit Limpakanont, dilahirkan di Phuket pada 1984, dan Thien-Ngern Thanaithon, yang lahir di Songkhla pada 1977.
Kedua-duanya merupakan warga Thailand yang menetap di Thailand, dan pelepasan kewarganegaraan Kemboja itu telah berkuat kuasa baru-baru ini seperti dinyatakan dalam titah diraja, tanpa penjelasan lanjut mengenai sebab keputusan berkenaan.
Langkah itu dibuat dalam suasana hubungan dua hala yang semakin tegang, susulan pertikaian sempadan lama antara Kemboja dan Thailand yang kembali memuncak sejak awal Disember, dengan Thailand melancarkan operasi ketenteraan terhadap Kemboja sejak 7 Disember lalu.
Sementara itu, keadaan kemanusiaan di kawasan sempadan terus meruncing, apabila ribuan penduduk awam di wilayah seperti Siem Reap, Odder Meanchey dan Banteay Meanchey terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat serangan udara dan tembakan artileri yang berterusan.
Ramai penduduk berlindung di pagoda, sekolah dan pusat pemindahan sementara, sebelum terpaksa berpindah lagi apabila serangan semakin menghampiri.
Pada 15 Disember, pengeboman melalui udara di daerah Srei Snam, wilayah Siem Reap, memaksa ribuan penduduk melarikan diri lebih jauh ke pedalaman, dengan sebahagian menyatakan mereka tidak lagi pasti di mana lokasi yang benar-benar selamat.
Kementerian Pertahanan Kemboja menuduh Thailand menggugurkan bom di kira-kira 10 lokasi di tiga wilayah sempadan, dakwaan yang dibalas oleh tentera Thailand dengan mendakwa sasaran tersebut digunakan sebagai perlindungan operasi ketenteraan Kemboja.
Ketegangan tersebut turut dipengaruhi faktor politik dalaman Thailand, dengan penganalisis menyatakan konflik berkenaan berpotensi dimanfaatkan menjelang pilihan raya parlimen Thailand yang dijadualkan pada 8 Februari.
Menurut pakar dari London School of Economics, konflik berpanjangan dijangka meningkatkan sokongan terhadap tentera dan menyukarkan usaha pembangkang untuk menekan agenda reformasi ketenteraan.
Usaha pengantaraan antarabangsa oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim setakat ini belum membuahkan hasil, walaupun kedua-duanya telah menggesa Bangkok dan Phnom Penh kembali mematuhi perjanjian damai yang dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia pada Oktober lalu.













