Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dan 20 lagi dilaporkan hilang selepas Taufan Bualoi, iaitu ribut taufan ke-10 yang melanda Vietnam tahun ini, menyebabkan kerugian melebihi 8.78 trilion dong Vietnam (AS$332 juta), lapor Vietnam News.
Bencana itu memusnahkan atau merosakkan lebih 154,000 rumah, termasuk 153 yang runtuh sepenuhnya, manakala ratusan ribu kediaman lain kehilangan atap.
Wilayah tengah Hà Tĩnh dilaporkan paling teruk terjejas dengan kerugian dianggarkan lebih 6 trilion dong.
Sektor pertanian dan penternakan turut parah dengan lebih 48,700 hektar tanaman musnah atau dilanda banjir.
Kerosakan infrastruktur turut dilaporkan, menyebabkan bekalan kuasa terputus dan lebih 8,200 tiang elektrik tumbang dan hampir 2.7 juta isi rumah bergelap.
Ia turut menyebabkan gangguan komunikasi serta kerosakan jalan di banyak kawasan.
Sementara itu beberapa daerah di utara dan tengah Vietnam mengalami tanah runtuh, banjir kilat dan hakisan pantai, dan operasi menyelamat berdepan kesukaran berikutan cuaca buruk yang berterusan.
Kerajaan Vietnam telah mengerahkan agensi kecemasan, tentera dan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan operasi menyelamat, memulihkan bekalan elektrik dan menyalurkan bantuan segera kepada penduduk yang terjejas.