Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menegaskan rundingan langsung dengan kepimpinan Myanmar penting untuk menyelesaikan isu pelarian, sambil menyatakan pendekatan yang mengehadkan ruang dialog selama ini tidak membuahkan hasil.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing dan mengadakan pertemuan empat mata selama setengah jam di pejabatnya hari ini, sebagai kesinambungan pertemuan mereka di Bangkok awal tahun lalu.
“Dalam pertemuan selama setengah jam itu, kami bertukar pandangan mengenai penyelesaian isu pelarian Myanmar di Malaysia, khususnya penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah tanpa mengira etnik,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Anwar berkata perbincangan berlangsung secara terbuka dan saling menghormati, meliputi perkara yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara.
Menurutnya, rundingan bersama Min Aung Hlaing serta kepimpinan Myanmar diperlukan bagi mencapai penyelesaian lebih menyeluruh.
“Pendekatan selama ini yang mengehadkan ruang dialog tidak membuahkan hasil, bahkan isu yang berlarutan selama puluhan tahun ini terus meruncing dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan ruang perbincangan berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengusahakan penyelesaian yang nyata.




















