BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
ART tidak mewajibkan Malaysia eksport unsur nadir bumi kepada AS
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata ART masih belum berkuat kuasa kerana rundingan masih diteruskan dan kerajaan sedang mendapatkan jaminan bertulis yang lebih jelas.
ART tidak mewajibkan Malaysia eksport unsur nadir bumi kepada AS
Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani ART pada Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur. (FAIL) / Reuters
14 jam yang lepas

Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia–Amerika Syarikat tidak mengandungi sebarang peruntukan yang mewajibkan Malaysia mengeksport unsur nadir bumi (REE) secara eksklusif kepada Washington, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata ART tidak memaksa komitmen eksklusif, kewajipan menyediakan bekalan atau memberi keutamaan kepada pasaran yang mengikat Malaysia untuk mengeksport REE kepada mana-mana negara tertentu.

“Kerajaan juga ingin menegaskan bahawa REE tidak pernah ditawarkan sebagai konsesi atau balasan dalam mana-mana rundingan perdagangan atau tarif dengan Amerika Syarikat,” katanya ketika perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani ART pada Oktober lalu bersama perjanjian mineral kritikal sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Presiden AS Donald Trump.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata ART masih belum berkuat kuasa kerana rundingan masih diteruskan dan kerajaan sedang mendapatkan jaminan bertulis yang lebih jelas.

Arthur menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan larangan eksport REE mentah selaras dengan dasar sedia ada bagi mengelakkan eksploitasi sumber strategik tanpa penambahan nilai, selain menggalakkan pembangunan rantaian nilai domestik menyeluruh termasuk pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan hiliran.

Beliau berkata dasar itu dirangka berlandaskan kepentingan nasional jangka panjang, mengambil kira bidang kuasa kerajaan persekutuan dan negeri, serta memastikan industri REE dibangunkan secara mampan dan bertanggungjawab.

SUMBER:TRT Global