Sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa Malaysia menjana pendapatan RM13 bilion pada 2025, bersamaan 40 peratus daripada keseluruhan hasil industri aeroangkasa negara.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata sektor tersebut turut disokong oleh tenaga kerja seramai 12,000 pekerja mahir, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam industri aeroangkasa serantau.
Menurut beliau, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara yang meneliti potensi serta hala tuju strategik Malaysia untuk muncul sebagai hab MRO aeroangkasa serantau.
“Jentera kerajaan perlu bertindak pantas bagi memudah cara pelabur dan memastikan pelaburan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh yang segera,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Isnin.
Anwar berkata kerajaan juga akan menambah baik insentif yang ditawarkan serta memperkemas proses berkaitan bagi memudahkan operasi perniagaan dalam sektor MRO aeroangkasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan beliau turut menilai kemajuan pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) serta membincangkan langkah-langkah untuk mempercepat dan melancarkan pelaksanaan projek berkenaan.















