Jumlah korban awam di Kemboja susulan serangan oleh Thailand meningkat kepada 17 orang setakat 6 petang pada Selasa, dengan sekurang-kurangnya 77 cedera, menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja, yang memaklumkan dua kematian terbaharu berlaku di sebuah pusat perlindungan di wilayah Koh Kong, lapor The Phnom Penh Post.
Kementerian itu berkata seramai 438,953 orang telah dipindahkan akibat pertempuran, dengan kira-kira dua pertiga terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, manakala kerosakan teruk turut melibatkan infrastruktur awam sejak serangan bermula pada 7 Disember.
Menurut pihak berkuasa, bedilan dan serangan udara Thailand telah memusnahkan 51 rumah awam, sebuah sekolah, pusat kesihatan, kuil purba, empat pagoda, sebuah dewan kebajikan, kediaman sami serta bangunan kastam dan eksais, selain kerosakan ke atas kasino, hotel, pusat pertanian komuniti, jambatan dan stesen minyak.
Perkhidmatan awam termasuk pentadbiran, kesihatan dan pendidikan di peringkat perbandaran dan daerah hampir terhenti sepenuhnya susulan peningkatan serangan Thailand melalui darat, laut dan udara, kata kementerian berkenaan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Negara Kemboja melaporkan pada 6.25 pagi hari ini, tentera Thailand meneruskan serangan di Wilayah Ketenteraan 5, dengan jet pejuang F-16 menggugurkan bom di kawasan Kampung Prey Chan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Senat Hun Sen menafikan dakwaan pihak tentera dan media Thailand bahawa tentera upahan Rusia terlibat di medan pertempuran, sambil menegaskan bahawa tiada kehadiran tentera asing di Kemboja sejak pengunduran UNTAC pada 1993, satu pendirian yang turut disokong oleh Kedutaan Rusia di Bangkok yang menafikan sebarang penglibatan Moscow dalam konflik sempadan itu.











