PERANG GAZA
2 min membaca
Malaysia akan heret Israel ke mahkamah antarabangsa untuk keganasan terhadap aktivis GSF
Amirudin Shari menegaskan tindakan undang-undang di peringkat global adalah perlu memandangkan delegasi antarabangsa tersebut telah berdepan dengan kekejaman yang melampau di luar batas kemanusiaan sepanjang operasi berkenaan.
Malaysia akan heret Israel ke mahkamah antarabangsa untuk keganasan terhadap aktivis GSF
Langkah perundangan itu akan digerakkan seiring dengan tekanan diplomatik yang berterusan terhadap Israel. / Foto: FB Amirudin Shari / User Upload

Malaysia akan mengheret Israel ke mahkamah antarabangsa susulan penyeksaan, keganasan, serta layanan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan rejim Zionis itu ke atas aktivis Misi Kemanusiaan Gaza Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.

Langkah perundangan itu akan digerakkan seiring dengan tekanan diplomatik yang berterusan terhadap pihak berkuasa Israel.

Ketua Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza Amirudin Shari menegaskan tindakan undang-undang di peringkat global adalah perlu memandangkan delegasi antarabangsa tersebut telah berdepan dengan kekejaman yang melampau di luar batas kemanusiaan sepanjang operasi berkenaan.

"Bukan sekali, bukan dua kali (tetapi berkali-kali) mereka diseksa. Kita akan bawa perkara ini ke mahkamah antarabangsa. Kita juga akan meneruskan tekanan diplomatik dan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk memberikan taklimat kepada rakyat," tegas Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor, semasa menyambut kepulangan 28 delegasi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Menurut beliau, perjuangan membela Palestin kini bukan lagi sekadar laungan slogan atau perhimpunan solidariti semata-mata, sebaliknya telah diterjemahkan melalui pengorbanan sebenar oleh rakyat Malaysia.

Beliau turut mendedahkan wujudnya usaha sistematik untuk menggagalkan misi tersebut, termasuk penyebaran maklumat palsu, serangan fizikal, serta tekanan psikologi terhadap ahli keluarga peserta.

Ketibaan kumpulan sukarelawan berkenaan pada jam 9.53 malam di Terminal 1 KLIA disambut dengan suasana penuh emosi dan air mata oleh ahli keluarga serta penyokong yang mengibarkan bendera Palestin.

Bagaimanapun, seorang peserta Malaysia, Razman Mat Ali, 38, terpaksa ditinggalkan di Istanbul, Türkiye bagi menerima rawatan kecemasan akibat kecederaan parah pada paru-parunya selepas dipercayai diserang oleh tentera Israel.

"Alhamdulillah, selepas pembedahan, kesakitan semakin berkurang. Berbanding semasa ditahan oleh tentera Israel, saya mengalami kesukaran bernafas dan sakit di seluruh badan. Doktor mengesahkan paru-paru saya bocor dan pembedahan segera perlu dilakukan. Jika lewat, ia boleh membawa maut," kata Razman, menurut laporan Kosmo.

Razman merupakan sebahagian daripada 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 bersama 428 aktivis antarabangsa sebelum kapal mereka dipintas secara haram oleh tentera Zionis di perairan antarabangsa.

Kesemua mangsa yang ditahan bagaimanapun telah dibebaskan secara berperingkat untuk pulang ke tanah air masing-masing.

SUMBER:TRT Global