Kementerian Dalam Negeri menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perniagaan haram yang melibatkan warga asing di Malaysia.
Sebaliknya, KDN bersama agensi-agensi berkaitan akan memperkukuh operasi bersepadu bagi membanteras penyalahgunaan pas lawatan sosial dan visa, termasuk tindakan membanteras penggunaan lesen perniagaan tempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tegas itu diambil selaras dengan arahan jelas daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam usaha memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara.
"Ini bukan sekadar soal pematuhan undang-undang, tetapi soal melindungi kepentingan rakyat, memastikan persaingan yang adil dan memelihara ketenteraman negara. Mana-mana pihak yang melanggar peraturan perlu berdepan tindakan sewajarnya," tegas beliau dalam satu kenyataan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa KDN akan terus menggalas tanggungjawab membanteras isu lambakan peniaga asing secara berterusan dengan berpaksikan prinsip keadilan.
"Insya-Allah, KDN akan terus melaksanakan tanggungjawab ini dengan tegas, adil dan berhemah demi memastikan Malaysia kekal aman, selamat dan sejahtera," ujar beliau lagi.













