Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Turkiye, yang berakhir Khamis, mencatatkan detik penting dengan penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi Malaysia–Turkiye (HLSCC), lapor Bernama.
Mesyuarat sulung HLSCC yang dipengerusikan bersama Anwar dan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, Ankara pada Rabu, mencerminkan hubungan diplomatik kukuh serta komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama strategik merangkumi pelaburan, perdagangan, pertahanan dan pendidikan.
Kedua-dua pemimpin turut menandatangani Deklarasi Bersama Penubuhan HLSCC, sekali gus mengangkat hubungan dua hala ke tahap tertinggi dan membuka lembaran baharu kerjasama Malaysia–Turkiye.
Anwar berkata, penubuhan majlis itu meletakkan Malaysia dalam kelompok kecil negara yang diberi kepercayaan untuk menjalin kerjasama strategik peringkat tertinggi dengan Turkiye.
Sepanjang lawatan, Anwar mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan bagi memperkukuh hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian tujuh dokumen bagi mengukuhkan kerjasama merentasi bidang utama, termasuk perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 dan MoU ICT antara MCMC dan pihak berkuasa ICT Turkiye.
Usaha mengeratkan hubungan turut dizahirkan menerusi kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan serta perbincangan kerjasama pertahanan dengan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Haluk Gorgun.
Anwar juga menghadiri meja bulat industri yang melibatkan 46 syarikat kedua-dua negara merangkumi sektor pertahanan, aeroangkasa, semikonduktor, automotif, EV dan halal.
Lawatan sulung rasmi Anwar ke Turkiye turut diserikan dengan penganugerahan Darjah Order of the Republic oleh Erdogan sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau memperkukuh hubungan dua hala.
Dari segi ekonomi, Turkiye kekal sebagai rakan penting Malaysia, dengan jumlah perdagangan RM21.2 bilion bagi Jan–Nov 2025 dan RM24.15 bilion pada 2024, menjadikannya rakan dagang utama Malaysia di Asia Barat.




























