Lebih 5,300 individu dilaporkan masih terperangkap di beberapa pusat penipuan dalam talian berhampiran sempadan Myanmar-Thailand.
Sebuah kumpulan hak asasi manusia mendedahkan situasi yang merisaukan itu masih berlarutan selepas setahun operasi besar-besaran melibatkan pelbagai negara dilancarkan di rantau berkenaan.
Menerusi surat rayuan yang dihantar kepada pihak polis Thailand, Rangkaian Masyarakat Sivil bagi Bantuan Mangsa Pemerdagangan Manusia (CSNHTV) menggesa agar tindakan segera diambil.
Kumpulan itu berkata majoriti mangsa merupakan warga asing yang ditahan di empat lokasi berbeza di dalam kawasan yang dikawal oleh kumpulan militia Myanmar.
"Banyak daripada kawasan larangan ini masih belum dibongkar atau tertakluk kepada operasi menyelamat untuk membebaskan semua mangsa yang masih ada," jelas CSNHTV dalam surat berkenaan.
Kumpulan itu menganggarkan mangsa yang terperangkap merangkumi kira-kira 1,600 warga China, 200 warga Myanmar, 20 warga Thailand, serta puluhan warga asing lain termasuk dari Malaysia, Filipina, Taiwan, Brazil, Rusia, Kenya, Uganda, Rwanda, dan Zimbabwe.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pusat penipuan seumpama ini menjana pendapatan berbilion dolar setiap tahun dengan memperdaya mangsa di seluruh dunia.
Sebahagian besar daripada premis tersebut dikendalikan oleh warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh sindiket jenayah, di mana mereka dipaksa bekerja dalam persekitaran yang menindas serta terdedah kepada pelbagai bentuk penganiayaan fizikal.
Surat berkenaan mendedahkan sebilangan besar mangsa kini dikurung di dalam kemudahan yang terletak di bawah kawasan kawalan tentera militia Democratic Karen Buddhist Army (DKBA).
"Akibatnya, sindiket ini terus terlibat dalam penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia, sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mangsa di seluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah," tambah kumpulan itu.
Setakat ini, dua pegawai DKBA serta jurucakap kerajaan tentera Myanmar masih belum memberi sebarang maklum balas rasmi berhubung dakwaan berkenaan.













