Malaysia bakal menerima sepasang panda gergasi baharu pada minggu ketiga November, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Huang Tiong Sii.
Beliau berkata projek pinjaman panda antara Malaysia dan China diteruskan melalui perjanjian baharu selama 10 tahun yang dimeterai pada 16 April lalu sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
“Perjanjian yang diperbaharui ini membolehkan Malaysia menerima pasangan panda yang lebih muda untuk tempoh 2025 hingga 2035,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 kementeriannya di Dewan Rakyat.
Huang berkata kerjasama itu mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh serta komitmen bersama dalam usaha pemuliharaan hidupan liar antara kedua-dua negara.
Pasangan panda pertama, Fu Wa (Xing Xing) dan Feng Yi (Liang Liang), dipinjamkan pada 2014 dan menjadi tarikan utama di Zoo Negara sebelum dihantar pulang ke China pada 18 Mei tahun ini selepas 11 tahun berada di Malaysia.
Pasangan baharu itu dijangka tiba di Zoo Negara minggu depan dan akan meneruskan penyelidikan bersama berkaitan perlindungan serta pembiakan panda sebagai kesinambungan kerjasama pemuliharaan.













