ASIA
2 min membaca
Inflasi dijangka kekal antara 1.5 dan 2.5 peratus tahun ini: Menteri Ekonomi
Kadar inflasi terbaharu negara dicatatkan pada paras 1.9 peratus, iaitu jauh lebih rendah berbanding unjuran inflasi global yang dianggarkan sekitar 4.3 peratus.
Inflasi dijangka kekal antara 1.5 dan 2.5 peratus tahun ini: Menteri Ekonomi
(FAIL) Kadar inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal antara 1.5 dan 2.5 peratus sepanjang tahun ini. / Reuters

Kementerian Ekonomi menjangkakan kadar inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal antara 1.5 dan 2.5 peratus sepanjang tahun ini, meskipun berdepan tekanan daripada krisis bekalan tenaga dan ketidaktentuan geopolitik global, menurut laporan BERNAMA.

Timbalan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan komited untuk memastikan inflasi tidak memberi kesan kejutan yang besar kepada ekonomi serta kos sara hidup rakyat walaupun tekanan harga dijangka berterusan.

Beliau menjelaskan bahawa kadar inflasi terbaharu negara dicatatkan pada paras 1.9 peratus, iaitu jauh lebih rendah berbanding unjuran inflasi global yang dianggarkan sekitar 4.3 peratus.

Sasaran ini penting bagi memastikan pergerakan inflasi berada dalam lingkungan yang mampu ditangani oleh kerajaan tanpa membebankan masyarakat secara mendadak.

"Untuk tahun 2026, unjuran yang kita selesa adalah inflasi antara 1.5 dan 2.5 peratus. Ini sasaran kita supaya pergerakan inflasi kekal dalam ruang lingkup yang boleh kita hadapi dan tidak memberi kesan yang terlampau ketara kepada kehidupan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai jangkaan tekanan inflasi pada suku kedua tahun ini berikutan gangguan bekalan tenaga global serta kesannya terhadap sektor pengangkutan dan makanan.

Menurut Akmal, tekanan inflasi semasa berpunca daripada peningkatan kos berkaitan bekalan minyak dan barangan input yang diperlukan bagi mengekalkan aktiviti ekonomi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan sedang meneruskan pelbagai langkah mitigasi termasuk pengagihan subsidi bahan api secara bersasar dan kawalan kos logistik melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Selain itu, pembiayaan tambahan sebanyak RM5 bilion turut disediakan melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan kemudahan Bank Negara Malaysia bagi membantu perniagaan kecil terus bertahan.

"Setakat ini, kita berjaya mengekalkan kadar inflasi pada 1.9 peratus tetapi tekanan itu akan terus memberi kesan. Oleh sebab itu, kita terus melihat data rasmi dan keadaan sebenar pada peringkat industri supaya langkah intervensi dapat dilakukan lebih awal," tambah beliau lagi, sambil memberi peringatan bahawa tekanan inflasi boleh meningkat sekiranya krisis global berlarutan.