United Kingdom tidak akan menerima lagi warga Israel untuk menyertai salah satu akademi pertahanan paling berprestij negara itu, iaitu Royal College of Defence Studies, dengan memetik keganasan Israel di Gaza, lapor The Telegraph.
Kementerian Pertahanan mengesahkan bermula tahun depan, Israel akan dikecualikan daripada menyertai kolej itu yang telah melatih pegawai kanan tentera dan pegawai kerajaan dari seluruh dunia sejak 1927.
Ini adalah kali pertama warga Israel dihalang daripada institusi tersebut, yang diasaskan berdasarkan visi mantan perdana menteri Winston Churchill untuk memupuk kefahaman antarabangsa dalam kalangan pemimpin tentera dan awam, menurut laporan itu.
Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan berkata tindakan Israel di Gaza adalah “salah,” dan kerajaan memutuskan untuk menahan akses mereka daripada memasuki kolej berkenaan sebagai tindak balas terhadap peperangan yang masih berterusan sehingga kini.
Langkah ini mencetuskan kritikan hebat di Israel. Amir Baram, ketua pengarah Kementerian Pertahanan Israel yang juga graduan kolej tersebut, menyifatkannya sebagai “tindakan amat tidak bermaruah dan satu pengkhianatan ke atas sekutu yang sedang berperang.”
Dalam sepucuk surat kepada Kementerian Pertahanan, Baram menyifatkan keputusan itu sebagai “tindakan diskriminasi” dan “satu penghinaan terhadap tradisi kebanggaan Britain dalam sikap bertoleransi dan budi pekerti yang mulia.”
Israel telah membunuh hampir 65,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak Oktober 2023.
Peperangan tersebut telah memusnahkan sebahagian besar wilayah bergolak itu dan memaksa hampir semua penduduknya berpindah.