Semua pihak perlu mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang atau keganasan terhadap Global Sumud Flotilla yang kini sedang menuju ke Gaza, kata beberapa Menteri Luar.
Dalam satu kenyataan bersama, Menteri-Menteri Luar dari Bangladesh, Brazil, Colombia, Indonesia, Ireland, Libya, Malaysia, Maldives, Mexico, Pakistan, Qatar, Oman, Slovenia, Afrika Selatan, Sepanyol dan Turkiye menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Global Sumud Flotilla, sebuah inisiatif masyarakat sivil yang turut disertai oleh warga negara masing-masing.
Flotilla tersebut memaklumkan bahawa misinya adalah untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza serta meningkatkan kesedaran berhubung keperluan mendesak rakyat Palestin dan pentingnya menghentikan peperangan di Gaza.
“Objektif tersebut, iaitu keamanan dan penyampaian bantuan kemanusiaan, termasuk penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, turut dikongsi oleh kerajaan-kerajaan kami.
“Oleh itu, kami menyeru semua pihak agar mengelakkan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang atau keganasan terhadap Flotilla, serta menghormati undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tulis kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Republik Afrika Selatan pada Selasa.
Mereka turut mengingatkan bahawa sebarang pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia terhadap peserta Flotilla – termasuk serangan ke atas kapal di perairan antarabangsa atau penahanan secara haram – akan dipertanggungjawabkan.