Kerajaan bekerjasama dengan NGO salur bantuan ke Gaza – Wisma Putra

Wisma Putra baru-baru ini mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pada 21 Oktober yang dihadiri 12 NGO bagi memperkemas logistik dan memastikan bantuan dapat disalurkan ke Gaza dalam masa terdekat.

By
Penduduk Palestin beratur untuk mendapatkan makanan yang diedarkan oleh pertubuhan amal di Khan Younis, Gaza pada 5 November 2025.

Malaysia meneruskan usaha menyelaras penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kerjasama rapat antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah inisiatif Ops Ihsan, kata Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin.

Beliau berkata Wisma Putra baru-baru ini mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pada 21 Oktober yang dihadiri 12 NGO bagi memperkemas logistik dan memastikan bantuan dapat disalurkan ke Gaza dalam masa terdekat.

“Antara bantuan yang dikenal pasti sebagai keutamaan termasuk bekalan asas seperti makanan, air bersih, minyak masak, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan. Dengan musim sejuk semakin hampir, bantuan musim sejuk seperti selimut dan pakaian tebal juga amat diperlukan,” katanya di Parlimen pada Khamis.

Beliau menambah mesyuarat itu diadakan susulan pertemuan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beberapa NGO bagi memperkukuh tindak balas kemanusiaan Malaysia terhadap krisis di Gaza.

Sementara itu, Mercy Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pihaknya telah menyambung semula misi perubatan khas ke Gaza menerusi pasukan SCT 6 yang kini memberikan khidmat kesihatan penting termasuk pembedahan ortopedik, dialisis, rawatan ibu mengandung serta konsultasi perubatan di Hospital Al-Shifa dan fasiliti berkaitan.

“Pasukan perubatan kami terus komited menyelamatkan nyawa dan memberikan rawatan segera kepada mereka yang tercedera. Mercy Malaysia kekal teguh dalam menyokong usaha pemulihan kesihatan dan menegakkan hak terhadap akses rawatan bagi semua,” menurut kenyataan itu.