Pihak berkuasa Myanmar menafikan dakwaan bahawa Aung San Suu Kyi telah meninggal dunia, sambil menegaskan bahawa pemimpin itu berada dalam keadaan yang baik, lapor Eleven Media.
Pasukan Maklumat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, dakwaan berkenaan adalah satu bentuk maklumat palsu yang disengajakan dan disebarkan pada waktu tertentu bagi mengganggu proses pilihan raya akan datang.
Kenyataan itu mendakwa terdapat beberapa media yang bermusuhan antara satu sama lain yang menyebarkan laporan palsu tersebut, sekali gus menyebabkan kekeliruan.
Ia turut menambah bahawa perkara itu menjadi lebih besar susulan kenyataan anak beliau, Kim Aris, yang mendakwa bahawa Aung San Suu Kyi mungkin telah meninggal dunia ketika dalam tahanan.
Pasukan Maklumat itu berkata, laporan berkenaan adalah tidak benar sama sekali dan menegaskan bahawa keadaan kesihatan Aung San Suu Kyi kekal baik.
Ia menambah bahawa penyebaran maklumat palsu itu dilakukan secara sengaja untuk mengganggu Pilihan Raya Umum Demokrasi Berbilang Parti yang dijadualkan berlangsung di Myanmar dalam masa terdekat.










