ASIA
2 min membaca
PM Anwar dijangka saksi pemeteraian empat MoU strategik di Tokyo
Lawatan tersebut juga menjadi platform penting menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada tahun hadapan.
PM Anwar dijangka saksi pemeteraian empat MoU strategik di Tokyo
Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo pada Isnin, 8 Jun 2026. / Facebook/Anwar Ibrahim

Hubungan akrab antara Malaysia dan Jepun bakal melonjak ke tahap yang lebih tinggi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang strategik sempena lawatan rasmi beliau yang bermula semalam, lapor BuletinTV3.

Lawatan itu mencerminkan pengiktirafan besar Kerajaan Jepun terhadap Malaysia, di mana Perdana Menteri akan diberikan Sambutan Rasmi di Pejabat Perdana Menteri Jepun sebelum mengetuai mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, Sanae Takaichi.

Duta Besar Malaysia ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany berkata, kedua-dua negara dijangka memeterai kerjasama membabitkan bidang pertahanan dan keselamatan serantau, kesihatan, peralihan tenaga, alam sekitar, serta pendidikan tinggi.

Selepas mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin dijadualkan menghadiri sidang media bersama serta Majlis Makan Tengahari Rasmi yang dihoskan oleh Takaichi.

“Perdana Menteri dijangka akan membuat pengumuman mengenai pemeteraian Memorandum Persefahaman dan Surat Hasrat di antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pertahanan dan keselamatan serantau, kesihatan, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar dan kerjasama pendidikan tinggi,” kata Shahril.

Ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada jam 8.05 malam (waktu tempatan) diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani, serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Bagaimanapun, Menteri Luar Mohamad Hasan dilaporkan tidak menyertai rangka lawatan rasmi kali ini.

Dalam pada itu Shahril menegaskan bahawa lawatan itu memperlihatkan kedudukan Malaysia sebagai rakan penting di rantau ASEAN, terutamanya ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran keselamatan tenaga.

“Jepun melihat ASEAN sebagai rakan yang amat penting dan mereka mahu mempunyai sahabat di Asia Tenggara yang boleh bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang. Malaysia berada dalam kedudukan yang unik untuk memanfaatkan keadaan ini,” tambah beliau, sambil berkata Jepun amat menghargai hubungan luar dengan Kuala Lumpur demi kepentingan strategik serantau.

Mengulas lanjut, lawatan tersebut juga menjadi platform penting menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada tahun hadapan.

Berdasarkan data Wisma Putra, nilai perdagangan dua hala kedua-dua negara pada tahun 2025 mencecah RM142.96 bilion, dengan 2,872 projek pembuatan bernilai RM107.9 bilion telah dilaksanakan, sekali gus menyediakan lebih 347,000 peluang pekerjaan.