BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
PKS jana eksport RM63.6 bilion, sokong lebih 383,000 pekerjaan
Daripada jumlah keseluruhan eksport itu, sebanyak 7,211 PKS menyumbang RM57.29 bilion menerusi eksport bukan elektrik dan elektronik (bukan E&E), bersamaan kira-kira 90 peratus daripada jumlah eksport PKS yang direkodkan.
PKS jana eksport RM63.6 bilion, sokong lebih 383,000 pekerjaan
Sebanyak 7,434 PKS yang berdaftar dengan MATRADE menjana eksport berjumlah RM63.60 bilion. / Reuters
 

Sebanyak 7,434 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menjana eksport berjumlah RM63.60 bilion, selain menyokong lebih 383,000 peluang pekerjaan di seluruh negara, menurut laporan BERNAMA.

MATRADE dalam satu kenyataan berkata, kumpulan PKS tersebut turut mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM12.04 bilion, sekali gus mencerminkan daya saing dan keupayaan syarikat tempatan di pasaran antarabangsa.

Daripada jumlah keseluruhan eksport itu, sebanyak 7,211 PKS menyumbang RM57.29 bilion menerusi eksport bukan elektrik dan elektronik (bukan E&E), bersamaan kira-kira 90 peratus daripada jumlah eksport PKS yang direkodkan.

Sumbangan tersebut meliputi pelbagai sektor utama termasuk makanan diproses, bahan kimia, jentera, peralatan dan alat ganti, produk logam serta produk berasaskan minyak sawit yang telah diproses.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah eksport Malaysia meningkat 37.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.811 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, mencatat pertumbuhan paling kukuh bagi tempoh yang sama sejak 1990.

Bagi tempoh tersebut, negara turut merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM274.81 bilion, menandakan kekuatan berterusan sektor perdagangan luar Malaysia meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Indera Abu Bakar Yusof, berkata pencapaian eksport itu membuktikan bahawa perusahaan Malaysia merupakan pemain penting dalam rantaian nilai global.

Menurut beliau, meningkatkan sumbangan PKS kepada jumlah eksport negara kekal menjadi keutamaan utama MATRADE, sejajar dengan usaha memperkukuh kedudukan syarikat tempatan di pasaran antarabangsa.

“Penyertaan lebih 7,400 PKS yang berjaya menjana eksport bernilai RM63.60 bilion membuktikan keberkesanan intervensi strategik yang dilaksanakan. 

Kami akan terus menerajui penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan antarabangsa berprofil tinggi bagi mendapatkan kontrak global bernilai tinggi,” katanya.