Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 kepada 5.1 peratus, peningkatan 0.7 mata peratusan daripada unjuran terdahulu, susulan kegiatan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini.
Dalam laporan Malaysia Economic Monitor, Bank Dunia menjangkakan permintaan domestik kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong penciptaan pekerjaan, bantuan fiskal bersasar dan pelaksanaan beransur projek pelaburan yang telah diluluskan.
“Dari sudut luaran, pertumbuhan eksport dijangka menyederhana apabila rangsangan sementara daripada penghantaran yang dipercepat, sebahagiannya mendahului langkah tarif AS, semakin berkurangan,” menurut laporan itu.
Pertumbuhan ekonomi pula dijangka menyederhana kepada 4.7 peratus pada 2027, seiring pertumbuhan penggunaan, pelaburan dan perbelanjaan awam yang lebih perlahan.
Inflasi dijangka meningkat sederhana kepada sekitar dua peratus tahun ini, terutama apabila kesan penurunan harga yang ditetapkan kerajaan pada 2025 semakin luput.
“Tekanan harga bagaimanapun dijangka kekal terkawal, dengan mekanisme subsidi bahan api bersasar mengehadkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap isi rumah domestik,” menurut Bank Dunia.
Risiko utama terhadap prospek ekonomi datang dari luar, termasuk permintaan global yang lemah, penyusutan lebih ketara selepas lonjakan awal eksport, peluasan tarif terhadap produk elektrik dan elektronik serta gangguan akibat konflik Asia Barat.
Di dalam negara, tekanan kos sara hidup, cuaca buruk dan ketidaktentuan berterusan boleh menjejaskan perbelanjaan isi rumah serta pelaburan perniagaan.
Bagaimanapun, Bank Dunia berkata permintaan teknologi global yang lebih kukuh, peningkatan aktiviti pelancongan dan bantuan tambahan kepada isi rumah berpotensi melonjakkan pertumbuhan melebihi unjuran asas.

























