Malaysia dan Singapura menyambut baik pengumuman gencatan senjata sementara yang melibatkan Amerika Syarikat, Iran, Israel dan Lubnan susulan konflik yang memuncak di Asia Barat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata persefahaman itu dicapai melalui perbualan telefon bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong bagi membincangkan perkembangan terkini konflik tersebut yang kini mula memberi kesan mendalam terhadap rantaian bekalan dan tenaga global, termasuk di rantau ini.
"Saya tegaskan keperluan mendesak untuk semua pihak menyokong penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Isnin.
Anwar menjelaskan pada masa yang sama, Malaysia turut memberikan penekanan terhadap kepentingan mengekalkan kebebasan dan keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz, selaras dengan undang-undang antarabangsa bagi menjamin kestabilan ekonomi.
Selain menyokong usaha diplomatik berterusan termasuk peranan Pakistan dalam membuka ruang dialog, perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu turut menyentuh isu pengukuhan daya tahan sistem grid tenaga serantau bagi mendepani cabaran imbangan permintaan dan bekalan.
"Menyentuh isu tenaga, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan sistem grid serta menangani cabaran keseimbangan penawaran dan permintaan, termasuk mempercepat pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN sebagai langkah strategik serantau.
“Insya-Allah, melalui kerjasama erat dan pendekatan berpaksikan kepentingan rakyat, kita akan terus memastikan Malaysia dan ASEAN kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global ini," tambah beliau lagi.















