Gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 61 orang di Filipina minggu lalu telah menyebabkan permukaan dasar laut meningkat sehingga dua meter, sekali gus mendedahkan terumbu karang dan mengancam hidupan marin.
Menurut kemas kini agensi bencana Filipina, gegaran bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Pulau Mindanao pada Isnin lalu itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang masih dilaporkan hilang.
Penduduk tempatan mula menyedari fenomena geologi yang dikenali sebagai coastal uplift ini dua hari selepas gempa berlaku.
Jabatan Alam Sekitar negara itu mendedahkan bahawa fenomena tersebut telah memanjangkan garisan pantai sehingga 200 meter di beberapa kawasan terjejas.
Menurut kenyataan rasmi Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), pergerakan di Palung Cotabato telah menolak sebahagian garis pantai ke atas, sekali gus mendedahkan dasar laut yang sebelum ini ditenggelami air.
"Peralihan di Palung Cotabato telah menolak ke atas sebahagian daripada garis pantai wilayah Sarangani dan Davao Occidental... mendedahkan dasar laut yang asalnya tenggelam. Anggaran peningkatan yang dipetakan adalah kira-kira dua meter," jelas institut tersebut.
Palung Cotabato yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pantai selatan Mindanao sememangnya terkenal sebagai kawasan aktiviti seismik yang aktif.
Pasukan tinjauan yang dihantar ke lokasi melaporkan bahawa kawasan pantai yang panjang, terumbu karang dan padang rumput laut kini terdedah sepenuhnya di kawasan terbuka.
Seorang pegawai yang bercakap kepada agensi berita AFP pada Ahad berkata mereka belum dapat memastikan keluasan sebenar kawasan yang terjejas disebabkan saiz zon tinjauan yang terlalu besar.
Imej yang dikeluarkan menunjukkan kawasan terumbu karang yang luas terdedah dengan bangkai ikan serta hidupan akuatik lain di atasnya.
Penduduk setempat pada mulanya melaporkan perubahan ini kerana bimbang akan ancaman keracunan akibat bau busuk daripada hidupan laut yang mereput.
"Terumbu karang dan padang rumput laut yang terdedah ini sudah mula mati bersama organisma yang mendiaminya seperti ikan terumbu, belut, kima dan kerang," tambah kenyataan Jabatan Alam Sekitar.















