Kerajaan Vietnam meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak AS$95 juta untuk membiayai kerja-kerja pemulihan di 15 wilayah yang dilanda Taufan Bualoi dan ribut lain tahun ini.
Perdana Menteri Pham Minh Chinh mengesahkan peruntukan dari dana simpanan bajet pusat 2025 itu menerusi Keputusan 2171 bagi membaiki infrastruktur penting seperti sistem pengairan, benteng, dan kemudahan pencegahan bencana yang rosak, serta menyokong usaha penempatan semula dan pemulihan mata pencarian mangsa bencana.
Dana tersebut akan diagihkan kepada beberapa wilayah terjejas, dengan dua wilayah tengah yang paling teruk dilanda, Nghe An dan Ha Tinh, masing-masing menerima lebih kurang AS$19 juta. Dana untuk wilayah lain termasuk AS&7.5 juta untuk Tuyen Quang, AS$ 7.4 juta untuk Cao Bang, AS$ 7.5 juta untuk Quang Tri, dan AS$5.1 juta untuk Hue.
Jawatankuasa Rakyat semua wilayah diarah melaksanakan langkah pemulihan dan melunaskan peruntukan itu sebelum 31 Disember 2026.
Taufan Bualoi serta ribut dan banjir susulannya mengakibatkan kemusnahan meluas. Angka rasmi sementara mendapati 54 orang dilaporkan maut atau hilang, dan 140 yang lain cedera .
Lebih 154,000 rumah dilaporkan rosak atau bocor, manakala beribu-ribu hektar tanaman padi dan tanaman lain serta kawasan akuakultur turut musnah . Kerosakan turut menimpa hampir 1,430 lokasi sekolah dan mengakibatkan gangguan terhadap bekalan elektrik serta rangkaian telekomunikasi. Anggaran awal mencatatkan kerugian ekonomi kira-kira AS$485 juta .
