PERANG GAZA
2 min membaca
Malaysia zahirkan penghargaan atas bantuan membawa pulang rakyatnya yang ditahan Israel
Kerjasama dan hubungan diplomasi di antara Malaysia dan negara Jordan, Mesir, AS, serta negara-negara ASEAN menjayakan usaha membawa pulang warganegara Malaysia kembali ke tanah air.
Malaysia zahirkan penghargaan atas bantuan membawa pulang rakyatnya yang ditahan Israel
Penyokong Malaysia menantikan kepulangan aktivis yang pulang dari Global Sumud Flotilla di KLIA, Malaysia, 7 Okt. 2025. (AP Photo/Vincent Thian)
8 Oktober 2025

Dalam satu kenyataan rasmi, kerajaan Malaysia mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat serta negara-negara ASEAN yang mempunyai kedutaan di Tel Aviv atas kerjasama dan bantuan mereka dalam memastikan keselamatan serta kepulangan warganegara Malaysia pada 7 Oktober.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat di Istanbul, dan Konsulat di Dubai turut memainkan peranan penting dalam memudahkan proses repatriasi dan menjaga kebajikan sukarelawan Malaysia semasa transit.

Sementara itu, Kementerian sedang memantau perkembangan satu lagi misi flotilla di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza, yang membawa sembilan aktivis rakyat Malaysia. Misi yang sedang dalam perjalanan ke Gaza itu bertujuan mencabar sekatan Israel dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Semua Pejabat Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan telah diarah untuk berjaga-jaga dan memantau situasi dengan rapi. Langkah-langkah persediaan juga sedang disusun untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko penahanan oleh pihak berkuasa Israel.

Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan rakan strategik bagi memastikan keselamatan, kebajikan, dan hak rakyatnya terpelihara, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menjunjung prinsip kemanusiaan sejagat dan keadilan antarabangsa.

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati dan lima peguam mendarat pada pukul 10.07 malam, Isnin, di KLIA Terminal 1.

Pada 2 Oktober rejim Israel memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis, termasuk 23 aktivis Malaysia yang kemudiannya dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.

BerkaitanTRT Melayu - Aktivis GSF tekad teruskan misi kemanusiaan ke Gaza


SUMBER:TRT World