KUALA LUMPUR –– Aktivis Malaysia yang telah selamat tiba di Malaysia setelah dipintas secara haram oleh Israel ketika berada di perairan antarabangsa menyatakan kesediaan untuk terus terlibat dalam misi serupa pada masa depan, menegaskan tiada ruang untuk berpuas hati dalam mempertahankan nasib rakyat Palestin.
Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati dan lima peguam mendarat pada pukul 10.07 malam, Isnin, di KLIA Terminal 1.
Pada 2 Oktober rejim Israel memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis, termasuk 23 aktivis Malaysia yang kemudiannya dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.
Norazman Ishak yang menaiki kapal Estrella menyatakan penyertaan dalam GSF bukan sekadar misi peribadi, malah membawa suara dan harapan seluruh rakyat Malaysia ke Gaza.
Mengenai pengalaman ditahan tentera Israel, beliau mengakui mereka menghadapi sekatan dan dinafikan beberapa hak asasi manusia sepanjang tempoh tahanan.
Nurfarahin Romli, atau Farah Lee, melaporkan tudung aktivis wanita dirampas dan mereka dihina di hadapan lelaki tanpa bertudung. Mereka terpaksa menutup rambut mereka menggunakan baju putih untuk melindungi aurat mereka.
Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs) pula berkata, penglibatannya dalam flotilla itu memberi pengalaman berharga dan menanam semangat baharu kepada generasi muda.
Muhammad Haikal yang menaiki kapal Free Willy menyeru semua lapisan masyarakat agar terus memberikan bantuan kepada penduduk Gaza mengikut kemampuan masing-masing.
"InsyaAllah, jika ada peluang, kami akan pergi lagi. Sebaik-baik manusia itu adalah yang paling memberi manfaat kepada orang lain," katanya pada sidang akhbar sempena kepulangan delegasi misi GSF Malaysia.
Nurul Hidayah Mohd Amin atau dikenali dengan nama Ardell Aryana mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang hadir menyambut kepulangan delegasi Malaysia.
Axiata Arena, Bukit Jalil akan menjadi tempat berkumpul untuk menunjukkan solidariti untuk Palestin pada 8 Oktober, dan dijangka dengan kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.