Hamas sedia untuk rundingan baharu gencatan senjata Gaza
Hamas menyatakan kesediaan untuk rundingan baharu bagi mencapai gencatan senjata yang kekal di Gaza.
Pengumuman itu dibuat tatkala rakyat Palestin menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana suram susulan perang kejam Israel.
Khalil al-Hayya, ketua perunding kumpulan itu, menyatakan mereka menawarkan "pemerhatian dan penambahbaikan" kepada cadangan Amerika Syarikat baru-baru ini, yang bertujuan untuk menamatkan pencerobohan Israel dan memastikan penghantaran bantuan disegerakan.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyeru agar Kompleks Perubatan Nasser dan Hospital Al Amal dilindungi memandangkan kedua-dua hospital itu amat diperlukan untuk memastikan rakyat yang tercedera mendapat akses perubatan.
AS sekat hakim ICC susulan waran tangkap Netanyahu
Amerika Syarikat menyekat empat hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kesemuanya wanita, susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Mereka dilaporkan dihalang daripada masuk ke Amerika selain aset mereka dibekukan.
Setiausaha Negara Marco Rubio berkata kerajaan AS akan melindungi sekutunya daripada tindakan mahkamah.
ICC mengecam sekatan itu dan menyifatkannya sebagai tamparan hebat kepada kedaulatan undang-undang.
Kumpulan hak asasi manusia turut memberi amaran bahawa tindakan ini akan menjejaskan sistem keadilan dunia.
Tentera Sudan tuduh RSF susulan serangan dron yang membunuh orang awam
Tentera Sudan menuduh Pasukan Sokongan Pantas atau RSF membunuh lima orang awam dalam serangan dron di El-Obeid, di selatan negara itu.
Pihak tentera berkata Grand Market dan zon perindustrian turut diserang, sambil menyifatkannya sebagai "tindakan jenayah" dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Setakat ini, RSF belum membuat sebarang komen tentang dakwaan tersebut.
Serangan itu berlaku susulan perebutan kuasa yang bermula pada April 2023, yang mengorbankan puluhan ribu rakyatnya, manakala jutaan orang hilang tempat tinggal.
Trump, Xi dijangka bertemu selepas perbualan telefon terbaharu
Presiden AS Donald Trump dan Xi Jinping dari China telah membincangkan cara untuk meredakan ketegangan perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu.
Kata Trump, perbualan selama 90 minit itu "sangat positif," dan memberi bayangan mungkin akan ada pertemuan dua mata antara mereka tidak lama lagi.
Xi turut menggesa agar hubungan dua negara itu dipulihkan.
Perbualan telefon itu dikatakan lebih tertumpu kepada isu perdagangan, termasuk mengenai mineral nadir bumi.
Ini adalah perbualan pertama mereka sejak Januari susulan kenaikan tarif dan hubungan yang tegang.
Elon Musk dan Trump kini bermasam muka
Perbalahan dramatik tercetus antara Elon Musk dan Presiden AS Donald Trump.
Musk dilaporkan menyokong pemecatan Trump selepas presiden itu berkata beliau mahu menghapuskan beberapa bilion subsidi dan kontrak untuk syarikat tempatan.
Musk bertindak balas dengan mengkritik Akta Rang Undang-Undang Big Beautiful yang dibuat oleh Trump.
Musk kemudiannya mendakwa bahawa Trump ada kaitan dengan fail Epstein dan menuduhnya tidak berterima kasih, sambil berkata Trump akan kalah dalam pilihan raya tahu lalu tanpa sokongannya.
Trump pula berkata dia "sangat kecewa" dan mengecam Musk.
Elon Musk dilantik oleh Trump untuk mengawasi Jabatan Kecekapan Kerajaan atau DOGE yang memberi tumpuan kepada mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.
Mogul teknologi itu memberi bayangan mungkin ada pembentukan parti politik baharu dan menggelar rang undang-undang Trump itu sebagai sesuatu yang "keji."
