Tentera Israel mula pencerobohan darat di Netzarim
Tentera Israel melancarkan serangan darat di tengah dan selatan Gaza, sekali gus menguatkan semula kawalan di sepanjang paksi Netzarim.
Serangan itu dilancarkan susulan pengeboman secara rambang oleh Israel ke atas Gaza sejak Selasa.
Menurut pihak berkuasa, lebih 430 rakyat Palestin terbunuh dan ratusan cedera, sekali gus merencatkan gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari.
Angka kematian rakyat Palestin sejak Oktober 2023 kini mencecah 49,500 nyawa.
Israel meneruskan serangannya ke atas Palestin walaupun berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Gaza dalam fasa kebuluran, Israel terus sekat penghantaran bantuan
Tidak cukup dengan menceroboh, Israel kini terus menghukum rakyat Palestin di Gaza dengan kelaparan.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan Gaza kini memasuki fasa pertama kebuluran akibat sekatan akses bantuan kemanusian oleh Israel di wilayah terkepung itu.
Pegawai Palestin menyatakan hampir dua juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk susulan bekalan penting semakin berkurangan.
Pemberhentian import bahan api turut menghentikan operasi kedai roti, sekali gus menyebabkan bekalan roti berkurangan secara drastik.
Program Makanan Sedunia mengesahkan tiada penghantaran bantuan dibuat sejak 2 Mac berikutan penutupan sempadan oleh Israel.
PM Armenia sedia tandatangan perjanjian damai dengan Azerbaijan
Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan berkata beliau bersedia menandatangani perjanjian damai dengan Azerbaijan.
Katanya, draf perjanjian antara Armenia dan Azerbaijan telah dipersetujui dan menunggu untuk ditandatangani.
Kenyataan Pashinyan dibuat selepas kedua-dua bekas republik Soviet itu mengumumkan persetujuan dengan draf perjanjian damai pada Khamis lalu.
Perjanjian itu dijangka boleh menamatkan konflik beberapa dekad susulan ketegangan di Karabakh, wilayah yang diduduki Armenia pada 1991 namun sebahagian besarnya dituntut semula oleh Azerbaijan dalam perang pada tahun 2020.
Perjanjian itu diharap dapat mengukuhkan keamanan dan hubungan diplomatik antara Baku dan Yerevan.
Bosnia keluar waran tangkap pemimpin pemisah Republika Srpska
Bosnia dan Herzegovina mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin etnik Serb Republika Srpska, Milorad Dodik bersama Perdana Menteri Radovan Viskovic dan Speaker Parlimen Nenad Stevandic.
Menurut pihak berkuasa, anggota polis diarahkan untuk menahan mereka jika dikesan.
Dodik disabitkan kesalahan pada bulan lalu kerana menghalang kuasa perlembagaan dan undang-undang persekutuan negara di Republika Srpska.
Dia turut menentang Christian Schmidt, seorang Perwakilan Tinggi untuk Bosnia dan Herzegovina sejak 2021, yang ditugaskan untuk menyelia perjanjian damai yang menamatkan perang Bosnia pada 1990-an.
Kanada teroka pilihan pertahanan di Eropah, elak bergantung kepada AS
Kenyataan Presiden Donald Trump mengenai Kanada memberi kesan terhadap sektor pertahanan Amerika Syarikat.
Kanada dilaporkan terlibat dalam perbincangan dengan Kesatuan Eropah untuk mengurangkan pergantungan keselamatannya kepada Amerika.
Seorang pegawai kanan Kanada mengesahkan Ottawa sedang meneroka pilihan baharu di Eropah untuk perolehan pertahanan, termasuk jet pejuang.
Ini susulan arahan Perdana Menteri baharu Mark Carney bagi mengkaji semula pembelian jet pejuang F-35 oleh Amerika disebabkan "persekitaran yang telah berubah."
Kesatuan Eropah baru-baru ini melancarkan strategi "Kesediaan 2030" yang menggalakkan negara anggota mengutamakan pembekal pertahanan dari Eropah.
Kanada baru-baru ini mengumumkan pembelian radar dari Australia. Terdahulu, Trump mendesak untuk menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 di Amerika.
