Harga makanan di Gaza melonjak 100 kali ganda susulan penutupan sempadan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza, dengan harga makanan melonjak seratus kali ganda susulan penutupan lintasan sempadan oleh Israel.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric menolak dakwaan Israel bahawa Hamas menjual bantuan. Katanya, tiada laporan sedemikian diterima daripada pasukan di lapangan.
Walaupun gencatan senjata masih berkuatkuasa, Israel melarang penghantaran bantuan kemanusiaan, sekali gus menambah penderitaan rakyat Palestin.
Israel turut dituduh menggunakan kelaparan sebagai senjata untuk membuat syarat baharu gencatan senjata.
Serangan dron Israel membunuh rakyat Palestin, melanggar gencatan senjata
Gaza kembali tegang selepas tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan tiga yang lain dalam beberapa serangan, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata, menurut pegawai perubatan tempatan.
Serangan dron Israel di Rafah membunuh dua rakyat Palestin, manakala serangan peluru berpandu di Khan Younis mencederakan tiga yang lain.
Tentera Israel meneruskan serangan selepas fasa pertama gencatan senjata tamat, mengorbankan empat lagi nyawa pada Ahad.
Trump henti bantuan AS di Ukraine
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggantung bantuan untuk Ukraine, sekali gus menekan negara itu untuk rundingan damai dengan Rusia.
Seorang pegawai di Rumah Putih mengesahkan penggantungan itu. Katanya ia penting bagi memastikan bantuan yang dihantar menepati matlamat diplomatik.
Pembekuan itu terjadi susulan pertemuan tegang dengan Presiden Volodymyr Zelenskyy, yang mempersoalkan desakan Trump untuk penyelesaian cepat.
Trump memberi amaran bahawa pemimpin Ukraine itu "tidak akan bertahan lama" tanpa perjanjian.
Pertama sejak perang dunia ke-2: Kerajaan tiga parti ditubuh di Austria, parti haluan kanan kalah
Kerajaan tiga parti yang pertama di Austria sejak Perang Dunia kedua ditubuhkan secara rasmi.
Selepas kebuntuan politik beberapa bulan, Parti Rakyat Austria (OVP), Demokrat Sosial dan parti liberal The New Austria (NEOS) bergabung—sekali gus menghalang Parti Kebebasan Austria (FPO) yang berhaluan kanan daripada membentuk kerajaan.
Menghadapi kemelesetan ekonomi, tekanan imigresen dan kekangan bajet Kesatuan Eropah, Canselor Christian Stocker berdepan jalan sukar.
Sementara itu, pemimpin FPO Herbert Kickl menggunakan gelombang haluan kanan dengan menyeru agar sekatan Rusia ditamatkan.
Erdogan seru kuasa veto Muslim diberi di UNSC
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyeru penyertaan perwakilan beragama Islam dalam membuat keputusan global, sambil menekankan bahawa umat Islam yang membentuk satu perempat penduduk dunia berhak bersuara.
Erdogan berkata kehadiran perwakilan dari negara Islam dengan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB adalah satu keperluan, bukan keterdesakan, sekali gus menyeru agar sistem yang digunakan adalah adil dan tidak hanya berpihak kepada dinamik kuasa semasa.
Erdogan turut memberi amaran kepada Israel. Katanya, keamanan tidak boleh dicapai tanpa negara Palestin berdasarkan sempadan 1967, dan mengulangi bahawa Masjid Al Aqsa adalah "garis merah" untuk Turkiye.
