Fokus Hari Ini (Rabu, 2 April)
00:00
00:0000:00
Dunia
Fokus Hari Ini (Rabu, 2 April)
Serangan udara Israel sasar tempat perlindungan dan rumah di Gaza. Misi Fram2 SpaceX mengorbit kutub bumi.

Gaza menderita lagi, Israel serang tempat perlindungan dan rumah

Serangan terbaharu Israel di Gaza menyebabkan tiga lagi rakyat Palestin maut dan beberapa lagi cedera, menjadikan jumlah kematian semasa perayaan Aidilfitri kepada 13 orang.

Serangan udara menghentam tempat perlindungan di Deir al-Balah dan sebuah rumah di Khan Younis, manakala tembakan meriam dan tentera laut menambah angka korban.

Saksi melaporkan terdapat peningkatan serangan oleh Israel di utara dan selatan Gaza.

Sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 50,400 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 114,500 orang, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin.

Tentera Taiwan bersiap sedia ketika China jalankan latihan berskala besar

Ketegangan mula memuncak apabila China mengepung Taiwan dengan latihan ketenteraan berskala besar, yang turut merangkumi latihan serangan tepat dan sekatan jalan.

Beijing berkata latihan itu melibatkan "serangan tepat" dan sekatan.

Taiwan kemudiannya bertindak balas dengan menghantar sistem peluru berpandu di rantau itu menggunakan pesawat dan kapal.

Latihan kententeraan oleh China itu dilakukan susulan kenyataan Amerika Syarikat yang mahu mempertingkatkan usaha damai di rantau itu, di mana Washington menggelar tindakan Beijing sebagai "agresif." 

Kesatuan Eropah menggesa semua pihak bertenang, namun ketegangan antara China dan Taiwan, yang didorong oleh sejarah dan geopolitik, berpotensi menjadi risiko besar.

Gempa bumi Myanmar: Lebih 2,700 maut, krisis semakin meruncing

Tragedi menyelubungi Myanmar susulan gempa bumi dahsyat pada Jumaat dengan bacaan 7.7 pada skala Richter yang meragut lebih 2,700 nyawa.

Ribuan penduduk dilaporkan cedera dan hilang, sementara pasukan penyelamat bergelut melawan masa.

Dalam satu kejadian tidak disangka, seorang wanita berusia 63 tahun yang masih hidup berjaya ditarik keluar dari runtuhan selepas 91 jam.

Usaha menghantar bantuan masih diteruskan, namun perang saudara di negara itu merumitkan usaha menyalurkan bantuan kepada jutaan rakyat yang terkesan.

Musim tengkujuh yang semakin hampir serta kebimbangan terhadap wabak penyakit menambah lagi krisis.

Senator AS beri ucapan panjang protes Trump

Senator Amerika Syarikat Cory Booker mencipta sejarah dengan menyampaikan ucapan terpanjang dalam sejarah Senat negara itu.

Booker menyampaikan ucapan pedasnya itu selama 25 jam dan lima minit di mana beliau memprotes tindakan Presiden Donald Trump yang dikatakan "tidak berperlembagaan".

Berdiri tegak tanpa rehat, Booker mengkritik dasar pemotongan kos Trump dan tindakannya yang melampaui jangkauan eksekutif, sambil memberi amaran ia akan merosakkan demokrasi di Amerika.

Senator New Jersey itu turut mengimbas kembali adegan ikonik dari 'Mister Smith Goes to Washington', yang memberi semangat baharu kepada rakannya dalam parti Demokrat sambil mendesak semua pihak melawan agenda Trump.

"Kuasa rakyat lebih besar daripada orang yang berkuasa," kata Booker sebelum mengakhiri ucapannya, sekaligus menambah semangat di kalangan pembangkang.

SpaceX lancar misi Fram2 mengorbit kutub bumi

SpaceX telah melancarkan misi Fram2, iaitu penerbangan kru pertama untuk mengorbit kutub Bumi.

Turut serta dalam pesawat yang dinamakan 'Crew Dragon' itu adalah jutawan Chun Wang, pembuat filem Jannicke Mikkelsen, pakar robotik Rabea Rogge, dan peneroka Eric Philips untuk perjalanan tiga hingga lima hari.

Tidak seperti pelancaran tradisional, trajektori ke selatan ini memerlukan kuasa tambahan dalam perjalanan angkasa lepas.

Kru dalam pesawat akan menjalankan 22 eksperimen sambil mengharungi persekitaran yang melampau.

"Kami bukan angkasawan NASA, " kata Mikkelsen.

Walaupun memerlukan tenaga yang besar, misi itu mampu menghasilkan pemerhatian kutub dan penyelidikan yang bermakna.

Audio lain
Fokus Hari Ini | 22 Oktober
Visa Iklim: Antara Pemindahan dan Pencegahan
Keperluan Kawan Sebenar
Ramalan Gempa Bumi: Mengapa Sains Masih Tidak Boleh Meramal Kedatangan Gempa Besar
Mempersenjatakan Kelaparan: Dari Kolonialisme Britain ke Gaza Hari Ini
Superman Kembali – Kali Ini Mirip Keadaan di Gaza
Bola Sepak Membawa Perubahan
Buruh Kanak-Kanak Jadi Tular. Kita Tengok Je?
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
Iman Jadi Sasaran