Genosid Israel terhadap Palestin di Gaza berterusan
Tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan udara yang menyasarkan pelbagai kawasan di Gaza Palestin, menghentam rumah, khemah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal dan kenderaan.
Sekurang-kurangnya 43 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Gaza yang dikepung pada hari Isnin.
Enam rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dalam serangan semalaman oleh tentera Israel ke atas Gaza.
Israel bunuh dua lagi wartawan di Gaza
Dua lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara berasingan Israel di Gaza, meningkatkan jumlah kematian keseluruhan sejak Oktober 2023 kepada 208.
Wartawan Al Jazeera Hossam Shabat, terbunuh dalam serangan di utara Gaza, manakala Mohammed Mansour, seorang wartawan Palestine Today TV, turut terbunuh dalam satu lagi serangan udara yang melanda pangsapurinya di bandar Khan Younis di selatan.
Isteri dan anaknya turut terbunuh dalam serangan itu.
Israel tahan pengarah Palestin yang memenangi Oscar selepas penduduk haram menyerangnya
Penduduk haram Zionis Israel membelasah salah seorang pengarah bersama Palestin bagi filem dokumentari pemenang Oscar "No Other Land" di Tebing Barat yang diduduki sebelum dia ditahan oleh tentera Israel.
Pembuat filem, Hamdan Ballal, adalah salah seorang daripada tiga rakyat Palestin yang ditahan di kampung Susya.
Saksi berkata kira-kira dua dozen penduduk haram, berpakaian tentera dan bersenjata, menyerang kampung itu, manakala tentera Israel mengacukan senjata mereka ke arah rakyat Palestin ketika penduduk haram membaling batu.
Trump tandatangani perintah mengenakan tarif ke atas negara yang mengimport minyak dari Venezuela
Presiden AS Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif ke atas negara yang mengimport minyak Venezuela.
Mengikut perintah itu, mulai 2 April, tarif sebanyak 25 peratus mungkin dikenakan ke atas semua barangan yang diimport ke AS dari mana-mana negara yang mengimport minyak Venezuela, sama ada secara langsung dari Venezuela atau secara tidak langsung melalui pihak ketiga.
Korea Selatan, Jepun bertempur dengan kebakaran hutan maut, pemindahan diarahkan
Anggota bomba terus memerangi kebakaran hutan di wilayah tenggara Korea Selatan dan wilayah barat Jepun untuk hari keempat berturut-turut ketika pihak berkuasa mengerahkan berpuluh-puluh helikopter dalam usaha untuk menghalangnya daripada merebak.
Sekurang-kurangnya empat orang maut, enam cedera, dan lebih 3,000 penduduk telah dipindahkan di dua negara Asia Timur itu.

