Fokus Hari Ini (Khamis, 6 Mac)
00:00
00:0000:00
Dunia
Fokus Hari Ini (Khamis, 6 Mac)
Presiden Donald Trump ugut nyawa rakyat Palestin susulan krisis tebusan. Kerajaan baharu Syria ikrar hapuskan warisan senjata kimia rejim Assad.
6 Mac 2025

Trump beri kata dua, ancam nyawa rakyat Palestin berhubung isu tahanan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekali lagi mengeluarkan kata dua yang mengejutkan rakyat Palestin.

Beliau memberi amaran bahawa rakyat Palestin di Gaza akan berdepan maut jika tahanan tidak dibebaskan.

"Lepaskan semua tebusan sekarang, bukan kemudian, dan segera pulangkan semua mayat yang anda bunuh, atau ia akan berakhir dengan anda," tulisnya di platform Truth Socialnya.

Sambil menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi untuk Israel, Trump berikrar untuk menghantar "segala yang diperlukan untuk menyelesaikan kerja ini."

Sekurang-kurangnya 48,400 rakyat Palestin telah terbunuh dalam perang kejam Israel ke atas Gaza di mana perjanjian gencatan senjata dicapai pada 17 Januari.

Penjajahan Israel adalah isu sebenar, bukan Hamas: pegawai Palestin

Ketua Pejabat Penerangan Kerajaan Gaza, Salama Maroofa membalas seruan Presiden Donald Trump supaya rakyat Palestin membebaskan tebusan Israel atau berdepan kematian.

Dia menyatakan pendudukan Israel adalah isu yang sebenarnya, bukan Hamas.

Dalam satu kenyataan, Maroofa menuduh Trump membuat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu merasa berani sehingga melakukan "jenayah terhadap 2.4 juta orang."

Beliau menambah keganasan yang berterusan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki adalah bukti jenayah Israel.

Syria ikrar musnahkan warisan senjata kimia rejim Assad

Menteri Luar Syria berikrar menghapuskan baki senjata kimia negara itu dengan segera dan menyeru dunia untuk memberi sokongan.

Bercakap di Pertubuhan Larangan Senjata Kimia di The Hague, Asaad Hassan al Shaibani menjadi pegawai Syria pertama yang berbicara hal ini.

Keputusan kerajaan baharu itu dibuat selepas kontroversi bertahun. Walaupun Syria pada 2013 berjanji memusnahkan simpanannya, pelbagai siasatan mengesahkan serangan kimia oleh rejim Bashar al-Assad.

Selama lebih sedekad, pemeriksa pemantau senjata kimia menghadapi sekatan dalam usahanya mendedahkan semua senjata milik Syria.

AS henti perkongsian risikan dengan Ukraine

Amerika Syarikat telah menghentikan perkongsian risikan dengan Ukraine, menurut Pengarah agensi risikan CIA John Ratcliffe, iaitu satu langkah yang boleh mengganggu strategi medan perang Kiev.

Pendirian tegas pentadbiran Trump itu bertujuan mendorong Ukraine ke arah perjanjian mineral dengan AS dan rundingan damai dengan Rusia.

Presiden Trump sebelum ini mendedahkan dia menerima surat daripada Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy yang menyatakan kesediaan untuk berunding.

Di tengah-tengah kebimbangan, Ratcliffe berkata keputusan itu akan ditukar semula apabila Washington mengesahkan sokongannya untuk Ukraine.

PBB beri amaran pemotongan catuan makanan drastik untuk pelarian Rohingya

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran ia mungkin terpaksa mengurangkan catuan makanan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh daripada $12.50 kepada $6 bermula 1 April, kecuali jika ia berjaya mengumpul $81 juta.

Pegawai tertinggi Bangladesh Mohammed Mizanur Rahman menyatakan kebimbangan terhadap potensi kesan pemotongan ini, dengan menyatakan catuan semasa sudah tidak mencukupi.

Program Makanan Sedunia PBB kini berebut mendapatkan dana untuk mengelak krisis kemanusiaan bertambah teruk.

Dengan lebih sejuta pelarian, ramai kini menghadapi kelaparan dan pemotongan itu mengancam menjejaskan keperluan asas kelangsungan hidup.

Audio lain
Fokus Hari Ini | 19 Januari
Visa Iklim: Antara Pemindahan dan Pencegahan
Keperluan Kawan Sebenar
Ramalan Gempa Bumi: Mengapa Sains Masih Tidak Boleh Meramal Kedatangan Gempa Besar
Mempersenjatakan Kelaparan: Dari Kolonialisme Britain ke Gaza Hari Ini
Superman Kembali – Kali Ini Mirip Keadaan di Gaza
Bola Sepak Membawa Perubahan
Buruh Kanak-Kanak Jadi Tular. Kita Tengok Je?
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
Iman Jadi Sasaran