Fokus Hari Ini (Isnin, 10 Mac)
00:00
00:0000:00
Dunia
Fokus Hari Ini (Isnin, 10 Mac)
Kereta kebal Israel serbu Tebing Barat susulan Hamas tuduh Netanyahu bermain politik. Turkiye beri amaran jangan buat provokasi di Syria.
10 Mac 2025

Gencatan senjata Gaza gagal, Hamas salahkan Netanyahu

Kumpulan pejuang Palestin Hamas menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sengaja menggagalkan perjanjian gencatan senjata Gaza untuk keuntungan politiknya.

Pegawai Hamas Izat al-Rishq memberi amaran tindakan Netanyahu membuang masa, dan ia adalah cubaan untuk memanipulasi nasib tahanan.

Sementara itu, dalam satu serbuan dramatik di Tebing Barat, beberapa kereta kebal Israel menyerbu bandar Jenin di Palestin.

Saksi melaporkan tembakan rambang dilepaskan oleh Israel sebelum kereta kebal mereka berundur. Beberapa video tular merakamkan situasi itu yang penuh dengan asap tebal.

Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

AS 'hampir' menarik balik pembekuan risikan ke atas Ukraine

Presiden Donald Trump menyatakan Amerika Syarikat telah “hampir” menamatkan pembekuan perkongsian risikan dengan Ukraine, satu keputusan yang membawa implikasi keselamatan yang besar.

Langkah pemulihan hubungan ini berlaku ketika pegawai tertinggi bersiap sedia untuk rundingan penting di Arab Saudi, di mana Ukraine dijangka menghadapi tekanan untuk membuat konsesi kepada Rusia.

Namun, nasib perjanjian mineral utama antara Washington dan Kiev juga masih belum dipastikan.

Di sebalik cabaran ini, Presiden Trump tetap optimis bahawa kemajuan ketara akan dicapai minggu ini.

Parti Liberal pilih pemimpin, PM Kanada baharu

Mark Carney dipilih sebagai ketua Parti Liberal Kanada dan kini bersedia menjadi perdana menteri negara itu.

Dia akan menggantikan Justin Trudeau, yang meletak jawatan pada Januari susulan popularitinya yang semakin merosot selepas hampir sedekad berkuasa.

Bekas pegawai bank pusat berusia 59 itu, yang terkenal dengan usaha menangani krisis, memperoleh lebih 85% undi.

Carney, orang luar yang tidak mempunyai pengalaman politik sebelum ini, dikatakan bersedia untuk menghadapi cabaran ini.

Pengurusan tindak balas Kanada terhadap tarif dikenakan AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump kekal menjadi isu utama.

Iran terbuka bincang kebimbangan nuklear dengan AS

Iran memberi isyarat keterbukaannya untuk berbincang dengan AS pada Ahad, tetapi hanya jika perbincangan itu tertumpu kepada kebimbangan mengenai ketenteraan program nuklearnya.

Misi PBB Tehran menegaskan ia tidak akan merundingkan cita-cita nuklearnya yang aman.

Sebelum ini, Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei, yang menolak tawaran AS untuk perjanjian baharu, berkata rundingan sedemikian bertujuan untuk mengehadkan keupayaan peluru berpandu Iran dan pengaruh serantaunya.

Khamenei menggariskan bahawa tuntutan tentera dan pengaruh tidak akan menyelesaikan ketegangan dengan Barat.

Turkiye beri amaran jangan buat provokasi di Syria

Menteri Luar Turki Hakan Fidan memberi amaran terhadap usaha memprovokasi dasar kerajaan Syria yang memfokuskan keamanan.

Amaran itu dikeluarkan ketika pertempuran di Syria berlaku antara tentera kerajaan dan penyokong setia pemimpin rejim yang digulingkan Bashar al Assad.

Beliau berkata orang Alawi, Kristian, Druze dan Nusayris perlu menjauhi provokasi itu.

Fidan menegaskan komitmen Turkiye untuk menyokong kerajaan baharu Syria dalam memulihkan keamanan.

Sidang kemuncak di Jordan, yang termasuk pegawai utama serantau, memberi tumpuan kepada keselamatan serantau, menentang keganasan dan kestabilan Syria.

Audio lain
Fokus Hari Ini | 14 Januari
Visa Iklim: Antara Pemindahan dan Pencegahan
Keperluan Kawan Sebenar
Ramalan Gempa Bumi: Mengapa Sains Masih Tidak Boleh Meramal Kedatangan Gempa Besar
Mempersenjatakan Kelaparan: Dari Kolonialisme Britain ke Gaza Hari Ini
Superman Kembali – Kali Ini Mirip Keadaan di Gaza
Bola Sepak Membawa Perubahan
Buruh Kanak-Kanak Jadi Tular. Kita Tengok Je?
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
Iman Jadi Sasaran