Kerajaan mendedahkan beban subsidi bagi petrol RON95 dan diesel telah melonjak naik daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan lonjakan drastik ini berpunca daripada gangguan bekalan minyak mentah global ekoran konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.
Menerusi video di laman X rasmi beliau, Anwar menjelaskan bahawa pergolakan tersebut telah menjejaskan Selat Hormuz, iaitu laluan kritikal yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Gangguan ke atas laluan utama itu telah menyebabkan harga minyak global melonjak dengan mendadak daripada AS$70 kepada hampir AS$120 setong hanya dalam masa beberapa hari.
Meskipun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, Perdana Menteri menjelaskan bahawa negara sebenarnya masih bergantung kepada import.
Tahun lalu, Malaysia mengeksport minyak mentah bernilai AS$5.5 bilion, namun nilai import mencecah hampir AS$12.6 bilion.
Defisit melebihi AS$7 bilion itu menunjukkan bahawa Malaysia mengimport lebih banyak minyak berbanding apa yang dihasilkan untuk pasaran tempatan.
Beliau menambah, minyak mentah yang diimport perlu melalui proses penapisan, pengangkutan, dan insurans sebelum sampai kepada pengguna, di mana semua kos tersebut meningkat berkali ganda semasa tempoh konflik.
Kenaikan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada bekalan bahan api, malah turut mencetuskan kesan rantaian terhadap kos pengangkutan, harga barang makanan dan perbelanjaan isi rumah di seluruh negara.
Bagi melindungi rakyat daripada terkesan secara langsung, Anwar berkata kerajaan MADANI telah mengambil langkah drastik untuk meningkatkan kadar subsidi.
"Untuk melindungi rakyat, subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI," tegas Anwar dalam hantaran tersebut.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa negara mampu mengharungi cabaran ekonomi ini berdasarkan rekod kejayaan Malaysia mengatasi tekanan serupa sebelum ini.











