Gencatan senjata kekal, namun lebih setengah juta masih berpindah empat hari kemudian
Seramai 512,263 orang masih terus berpindah disebabkan kebimbangan keselamatan, kerosakan infrastruktur serta kewujudan bahan letupan yang belum meletup.
Empat hari selepas gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand berkuat kuasa, lebih setengah juta orang masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing walaupun keadaan di sempadan semakin stabil, menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja.
The Phnom Penh Post melaporkan, kementerian memaklumkan gencatan senjata yang dilaksanakan dari 6 petang 31 Disember hingga 1 petang 1 Januari telah meredakan ketegangan dan membolehkan sebahagian penduduk kembali ke kediaman mereka.
Namun, seramai 512,263 orang masih terus berpindah disebabkan kebimbangan keselamatan, kerosakan infrastruktur serta kewujudan bahan letupan yang belum meletup.
Setakat ini, seramai 5,192 orang telah pulang ke kampung halaman masing-masing, namun ribuan lagi masih berlindung di pusat pemindahan sementara atau menumpang di komuniti tuan rumah, khususnya di wilayah Banteay Meanchey, Oddar Meanchey dan Preah Vihear.
Di Banteay Meanchey sahaja, 321 sekolah serta tujuh hospital dan pusat kesihatan masih ditutup, manakala di Preah Vihear, 61 sekolah dan 14 kemudahan kesihatan belum beroperasi.
Oddar Meanchey pula mencatat gangguan paling meluas dengan lebih 200 sekolah dan puluhan pejabat pentadbiran tempatan masih ditutup atas faktor keselamatan.
Kementerian turut memaklumkan kerosakan teruk ke atas infrastruktur awam, termasuk sekurang-kurangnya 117 rumah penduduk, selain sekolah, pejabat kerajaan dan rumah ibadat, serta kerosakan pada hotel, stesen minyak, bangsal padi, jambatan, jalan raya dan kemudahan elektrik.
Walaupun keadaan kini kembali tenang, pihak berkuasa menegaskan proses pemulihan akan mengambil masa, di mana 84 kampung masih belum boleh diakses.
Kerajaan berkata gencatan senjata tidak menjejaskan kedaulatan negara dan usaha penempatan semula akan diteruskan, sambil menegaskan bahawa gencatan ini hanyalah langkah awal bagi ribuan keluarga untuk membina semula kehidupan mereka.