AS lancar siasatan ke atas ekonomi Malaysia berhubung lebihan kapasiti

Selain Malaysia, langkah tersebut turut melibatkan China, Kesatuan Eropah, Singapura, Switzerland, Norway, Indonesia, Kemboja, Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India.

By
Laporan mendedahkan pada 2024, lebihan dagangan Malaysia mencatatkan $31 bilion, atau 7.3% daripada KDNK. (FAIL) / AP

Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah melancarkan siasatan ke atas beberapa ekonomi dunia, termasuk Malaysia, berhubung kebimbangan mengenai kapasiti berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan, menurut laporan BERNAMA.

Siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 itu akan meneliti sama ada tindakan, dasar, dan amalan ekonomi negara terbabit menyumbang kepada pengeluaran berlebihan yang boleh membebankan atau menyekat perdagangan AS.

Selain Malaysia, langkah tersebut turut melibatkan China, Kesatuan Eropah, Singapura, Switzerland, Norway, Indonesia, Kemboja, Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India.

Menurut USTR, langkah itu diambil memandangkan rakan dagang utama telah membangunkan kapasiti pengeluaran yang tidak terikat dengan insentif permintaan domestik dan global.

Dakwa mereka, perkara ini membawa kepada pengeluaran berlebihan, lebihan dagangan yang berterusan, serta kapasiti pembuatan yang tidak digunakan.

Menyentuh mengenai Malaysia secara khusus, USTR berkata wujud bukti lebihan kapasiti struktur melalui lebihan dagangan barangan yang besar dan berterusan.

Malaysia mengekalkan lebihan dagangan global yang diterajui oleh eksport dalam sektor peralatan elektronik, bahan api mineral, minyak, serta peralatan teknikal dan perubatan.

Laporan itu mendedahkan bahawa pada 2024, lebihan dagangan Malaysia mencatatkan $31 bilion (RM121 bilion - atau 7.3% daripada KDNK).

Sektor keluli turut menjadi perhatian, di mana Malaysia dilaporkan mempunyai lebihan kapasiti yang ketara dengan pertumbuhan kapasiti sebanyak 22% antara 2018 dan 2022, meskipun permintaan keluli merosot sebanyak 25% dalam tempoh yang sama.

Jawatankuasa Seksyen 301 antara agensi akan mengadakan pendengaran awam dan kini sedang mendapatkan ulasan daripada pihak awam sehingga 15 April depan.

Perkembangan ini menyusul selepas tarif AS di bawah seksyen yang sama sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS kerana dianggap melampaui kuasa undang-undang perdagangan sedia ada.