Kemboja bawa serangan sempadan Thai ke Majlis Keselamatan PBB, gesa campur tangan segera

Tuduhan itu dibuat ketika pertempuran berlarutan di wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey, di mana Kemboja mendakwa Thailand menggunakan senjata berat, kereta kebal, artileri, dron, jet pejuang dan asap beracun yang turut dikesan di kawasan awam.

By
Penduduk yang kehilangan tempat tinggal berlindung di Chonkal, wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, pada Khamis, 11 Disember 2025. / AP

Kemboja secara rasmi membawa isu serangan sempadan Thailand ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menuntut tindakan segera terhadap apa yang digambarkan sebagai “siri serangan bersenjata tanpa provokasi dan semakin meningkat” oleh tentera Thailand, sekali gus mengangkat konflik ini ke peringkat keselamatan antarabangsa, lapor The Phnom Penh Post.

Dalam surat bertarikh 10 Disember kepada Presiden Majlis Keselamatan, Wakil Tetap Kemboja ke PBB Keo Chhea menuduh angkatan tentera Thailand melanggar Piagam PBB, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta perjanjian gencatan senjata dengan melancarkan operasi ketenteraan rentas sempadan ke atas wilayah Kemboja.

Tuduhan itu dibuat ketika pertempuran berlarutan di wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey, di mana Kemboja mendakwa Thailand menggunakan senjata berat, kereta kebal, artileri, dron, jet pejuang dan asap beracun yang turut dilakukan di kawasan awam.

Keo Chhea berkata operasi ketenteraan tersebut “melanggar larangan keras terhadap ugutan atau penggunaan kekerasan di bawah Piagam PBB,” sambil memberi amaran bahawa keadaan kini menjadi “sangat bahaya kepada keamanan dan keselamatan serantau.”

Surat itu menyatakan bahawa tentera Thailand memulakan serangan pada 7 Disember sebelum meningkatkan lagi pengeboman berterusan di beberapa lokasi pada hari berikutnya, termasuk melarat ke kawasan awam di Banteay Meanchey, Pursat dan Battambang.

Kemboja mendakwa serangan itu membunuh dan mencederakan orang awam, memusnahkan rumah dan infrastruktur serta merosakkan tapak warisan yang dilindungi, termasuk kawasan sekitar Kuil Preah Vihear, tapak Warisan Dunia UNESCO yang lama menjadi titik panas pertikaian sempadan.

Phnom Penh turut menuduh Thailand melanggar Perjanjian Gencatan Senjata 28 Julai dan Perjanjian Damai Kuala Lumpur 26 Oktober, yang mewajibkan kedua-dua pihak menyelesaikan isu sempadan secara aman serta mengelak penggunaan kekerasan.

Keo Chhea menegaskan bahawa Kemboja kekal komited terhadap penyelesaian damai dan telah menunjukkan “kesabaran maksimum” dengan tidak membalas serangan selama 24 jam selaras dengan perjanjian gencatan senjata, sambil mengekalkan hak mempertahankan diri di bawah Artikel 51 Piagam PBB.

Thailand pula digambarkan bertindak berdasarkan “peta yang dilakar secara unilateral,” bercanggah dengan perjanjian penandaan sempadan 1904 dan 1907 serta Memorandum Persefahaman 2000 yang diiktiraf PBB.

Kemboja berkata ia mahu Majlis Keselamatan mengecam tindakan Thailand, menuntut penghentian segera operasi ketenteraan dan memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Phnom Penh juga meminta misi penyiasatan bebas PBB dihantar untuk menyiasat dakwaan pelanggaran dan menentukan pihak bertanggungjawab.

Dengan merujuk Artikel 34 dan 35 Piagam PBB, Kemboja mahu isu ini dianggap sebagai ancaman keselamatan antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa tindakan Thailand bukan sahaja serangan terhadap Kemboja tetapi “cabaran terhadap ketertiban undang-undang antarabangsa dan kuasa Majlis Keselamatan.”