Kemboja, Thailand saling menyindir semasa perbahasan UNSC

Perbahasan yang dipengerusikan oleh Somalia itu membincangkan agenda bagi memperkukuh kedaulatan undang-undang dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

By
Walaupun kedua-dua negara menyatakan sokongan terhadap prinsip ASEAN, pemerhati melihat kenyataan mereka sebagai sindiran untuk satu sama lain. (FAIL) / AP

Kemboja dan Thailand saling melontarkan sindiran mengenai pertikaian sempadan mereka ketika Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), walaupun kedua-duanya menegaskan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip yang turut diperjuangkan ASEAN.

Menurut laporan Khmer Times, perbahasan yang dipengerusikan oleh Somalia itu membincangkan agenda bagi memperkukuh kedaulatan undang-undang dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Wakil Tetap Filipina ke PBB Enrique Manalo, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menegaskan komitmen blok itu terhadap Piagam PBB, UNCLOS 1982 serta penyelesaian pertikaian secara aman tanpa ancaman atau penggunaan kekerasan.

Duta Tetap Kemboja ke PBB Keo Chhea menyokong pendirian ASEAN sambil menegaskan kepatuhan terhadap undang-undang antarabangsa adalah penting bagi melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah sesebuah negara.

Beliau merujuk Artikel 2.4 dan 2.3 Piagam PBB, sambil memberi amaran bahawa sebarang tindakan mengubah status quo di lapangan berisiko mencetuskan ketegangan serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Chhea turut menekankan bahawa pertikaian sempadan mesti diselesaikan melalui saluran yang aman dan sah, termasuk melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau turut menyeru agar rantau ini terus mengukuhkan mekanisme pencegahan konflik dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya berkaitan perlindungan orang awam dan harta awam.

Wakil Tetap Thailand ke PBB Cherdchai Chaivaivid dalam kenyataannya menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan unilateral dan penggunaan kuasa yang menjejaskan aturan antarabangsa.

Thailand menegaskan kedaulatan undang-undang antarabangsa perlu ditegakkan secara adil, dengan akauntabiliti tanpa pengecualian, serta menekankan bahawa prinsip kedaulatan dan keutuhan wilayah mesti dipraktikkan, bukan sekadar dilaungkan.

Walaupun kedua-dua negara menyatakan sokongan terhadap prinsip ASEAN, pemerhati melihat kenyataan mereka sebagai sindiran untuk satu sama lain.

Pengarah Pusat Dokumentasi Kemboja Youk Chhang mengkritik kenyataan Thailand sebagai hipokrit, sambil mendakwa terdapat pencerobohan dan pendudukan tentera Thailand di beberapa kawasan Kemboja, yang menurutnya bercanggah dengan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai.