Malaysia berpotensi berdepan suhu maksimum mencecah 39 ke 40 darjah Celsius jika fenomena El Nino yang kuat melanda negara antara penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan, menurut laporan Berita Harian.
Kemuncak cuaca panas melampau ini dijangka berlaku dalam tempoh Mac hingga Mei 2027, yang merupakan kitaran tahunan bagi suhu tertinggi di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata unjuran tersebut dibuat berdasarkan rekod pencerapan terdahulu serta kesan pemanasan global yang semakin ketara.
Beliau meletakkan beberapa kawasan seperti negeri-negeri di utara Semenanjung, pedalaman Kelantan, Pahang, serta pedalaman Sabah dan Sarawak sebagai wilayah paling berisiko tinggi terjejas.
"Berdasarkan rekod pencerapan meteorologi terdahulu, suhu maksimum harian boleh melebihi 38 darjah Celsius apabila negara mengalami episod El Nino yang kuat seperti pada 1997/1998 dan 2016/2017. Dengan jangkaan El Nino kuat serta kesan pemanasan global yang semakin ketara, suhu sekitar 40 darjah Celsius dijangka berpotensi berlaku," ujar Dr Mohd Hisham.
Fenomena cuaca panas yang berpanjangan ini dikhuatiri akan memberi impak besar kepada pelbagai sektor kritikal negara termasuk kesihatan awam, bekalan air, pertanian, tenaga dan alam sekitar.
Ketiadaan taburan hujan yang konsisten sepanjang tempoh itu juga mampu menurunkan paras empangan utama, sekali gus menjejaskan bekalan air domestik dan keupayaan penjanaan tenaga hidro elektrik.
"Risiko penyakit berkaitan haba seperti kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba dijangka meningkat, terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak, individu yang menghidap penyakit kronik serta mereka yang bekerja di luar bangunan," tambah beliau.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, METMalaysia menasihatkan orang ramai agar mengehadkan aktiviti luar pada waktu puncak, memastikan pengambilan air yang mencukupi dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu.












