Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berhasrat memperkukuh peranan ASEAN dalam memacu pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Mesyuarat Pemimpin RCEP ke-5 minggu hadapan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, RCEP bukan sekadar satu susunan ekonomi, tetapi merupakan penegasan strategik bahawa keterbukaan serantau kekal menjadi jalan menuju kemakmuran bersama.
“Kita mahu RCEP bukan hanya untuk menguntungkan syarikat multinasional besar, tetapi turut memberi manfaat nyata kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), para pekerja, dan komuniti,” katanya ketika menutup Sidang Kemuncak DHL GOTRADE 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Mesyuarat Pemimpin RCEP ke-5 dijadual berlangsung pada 27 Oktober di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Kata Anwar, kejayaan RCEP bergantung kepada kemampuan negara anggota menterjemah komitmen kepada peluang sebenar, termasuk menangani halangan ekonomi, mempertingkat fasilitasi perdagangan serta memastikan ekonomi digital, peralihan hijau, dan sektor perkhidmatan digabungkan sepenuhnya dalam kerangka tersebut.
“Dalam memperkukuh integrasi serantau ini, ASEAN dan dunia wajar memberi tumpuan kepada RCEP — perjanjian perdagangan terbesar dunia yang merangkumi hampir satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan global,” katanya sambil menegaskan bahawa rantau ASEAN kini menjadi nadi utama rantaian bekalan global, pusat pembuatan, serta pasaran dinamik dengan 680 juta penduduk.
Beliau menambah, dalam tempoh lima tahun akan datang, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia dan mesti terus mempertahankan prinsip keterbukaan serta perpaduan di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pergolakan mengenai isu tarif, sekatan dan dasar perdagangan yang berubah-ubah kini mengubah landskap rantaian bekalan global, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak bagi memperkukuh kerjasama serantau.
Sebagai pengerusi ASEAN, Anwar berkata Malaysia mahu kemajuan diukur bukan sekadar melalui angka, tetapi juga melalui pekerjaan bermaruah, kesejahteraan keluarga dan keadilan dalam mendapatkan peluang.
“Dunia tidak memerlukan lebih banyak retorik peraturan, tetapi komitmen baharu terhadap keadilan dan hasil yang nyata,” katanya.
Anwar berkata inisiatif GOTRADE telah membantu ribuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk perniagaan yang dimiliki wanita, untuk menembusi pasaran global dengan yakin.
Beliau menambah, ASEAN kini menjadi nadi penting dalam rantaian bekalan global, hab pembuatan serta pasaran dinamik dengan 680 juta penduduk.
Dalam tempoh lima tahun, ASEAN dijangka muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia, katanya.
“Malaysia berhasrat mengukuhkan peranan sebagai hab pelaburan dipercayai sambil memastikan perusahaan tempatan dan syarikat pemula tidak ketinggalan,” katanya sambil menegaskan bahawa RCEP sebagai perjanjian perdagangan terbesar dunia mesti memberi manfaat bukan hanya kepada syarikat besar, tetapi juga kepada PMKS, pekerja dan komuniti.










