Parti pro-tentera mendominasi pilihan raya dikendali junta Myanmar – keputusan rasmi
Parti USDP, yang didakwa penganalisis sebagai proksi awam angkatan tentera, mendominasi persaingan dalam keadaan di mana pihak pembangkang utama tidak bertanding.
Parti pro-tentera Myanmar dilihat mendahului fasa pertama pilihan raya yang dikendalikan pihak junta, dengan Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP) memenangi sekitar 90 peratus kerusi Dewan Rakyat yang telah diumumkan setakat ini, menurut keputusan rasmi yang disiarkan media kerajaan.
Ini merupakan pilihan raya pertama yang diadakan sejak rampasan kuasa yang dilakukan pihak tentera pada 2021, sekali gus mencetuskan perang saudara dan menyaksikan pertembungan di antara kumpulan-kumpulan pro-demokrasi dengan pihak junta.
Proses pengundian bagi pilihan raya berperingkat selama sebulan itu dimulakan minggu lalu, dengan pimpinan tentera mendakwa proses itu akan memulihkan demokrasi.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi dan pemimpin Barat mengecam pilihan raya berkenaan sambil menyifatkannya sebagai tidak berwibawa dan sekadar usaha untuk menjenama semula pemerintahan tentera.
Parti USDP, yang didakwa penganalisis sebagai proksi awam angkatan tentera, mendominasi persaingan dalam keadaan di mana pihak pembangkang utama tidak bertanding.
Keputusan separa Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) yang disiarkan pada Sabtu dan Ahad menunjukkan USDP memenangi 87 daripada 96 kerusi Dewan Rakyat yang telah diumumkan.
Enam parti etnik minoriti pula memperoleh sembilan kerusi, manakala keputusan bagi enam kawasan lagi belum diumumkan dalam fasa pertama.
Selain itu, USDP turut memenangi 14 daripada 15 kerusi peringkat wilayah dan negeri yang telah diumumkan setakat ini, menurut laporan akhbar milik kerajaan Global New Light of Myanmar. Dua lagi fasa pengundian dijadual berlangsung pada 11 dan 25 Januari.
Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi yang dibubarkan tidak tersenarai dalam kertas undi, sementara beliau kekal dipenjarakan sejak rampasan kuasa.
Tentera sebelum ini membatalkan keputusan pilihan raya 2020 yang menyaksikan NLD menang besar, sambil mendakwa berlaku penipuan pengundi—tuduhan yang menurut pemerhati antarabangsa tidak berasas.
Junta turut mendakwa kadar keluar mengundi fasa pertama melebihi 50 peratus, namun angka itu lebih rendah berbanding sekitar 70 peratus pada pilihan raya 2020, mencerminkan tahap penyertaan yang lebih rendah dalam kalangan rakyatnya.