Tragedi kren Thailand: Operasi mencari dan menyelamat tamat, 32 maut
Kini, tumpuan beralih kepada kerja-kerja pembersihan serpihan serta usaha membina semula laluan rel bagi memastikan operasi perkhidmatan dapat dimulakan secepat mungkin.
Operasi mencari dan menyelamat insiden kren yang tumbang dan menghempap kereta api Ekspres Khas di Sikhio, Nakhon Ratchasima, secara rasmi ditamatkan selepas semua penumpang berjaya dikenal pasti, dengan jumlah korban disahkan meningkat kepada 32 orang, lapor The Nation.
Pusat Kawalan Insiden Wilayah Nakhon Ratchasima memaklumkan pusat kecemasan telah ditutup selepas operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.
Kini, tumpuan beralih kepada kerja-kerja pembersihan serpihan serta usaha membina semula laluan rel bagi memastikan operasi perkhidmatan dapat dimulakan secepat mungkin.
Kemalangan ngeri itu berlaku pada Rabu, kira-kira jam 9.30 pagi, berhampiran tapak pembinaan rel berkelajuan tinggi di Ban Thanon Khot, apabila sebuah kren besar runtuh di atas Kereta Api Ekspres Khas No.21 (Krung Thep Aphiwat–Ubon Ratchathani) yang sedang melalui kawasan tersebut.
Ketika kejadian, kereta api berkenaan membawa 171 penumpang. Angka korban yang dikeluarkan setakat 9 malam hari kejadian merekodkan 32 maut, 66 orang cedera dan telah menerima rawatan di hospital berhampiran, manakala 70 penumpang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Sementara itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul melawat lokasi kejadian dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau memberi jaminan sokongan kepada waris serta menuntut pihak kontraktor serta pengurusan projek yang terlibat bertanggungjawab.
Anutin turut menyuarakan kemarahan terhadap jumlah pampasan awal yang ditawarkan, menyifatkannya sebagai tidak munasabah, dan mengarahkan satu mesyuarat khas lembaga Keretapi Negara Thailand diadakan dengan segera.
Beliau menegaskan pihak keluarga perlu diberikan pampasan yang lebih tinggi, selain menuntut siasatan tegas serta tindakan undang-undang bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang.