Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak di Myanmar untuk mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa susulan serangan udara oleh kerajaan junta yang membunuh puluhan orang di negeri Rakhine, barat negara itu.
Serangan itu berlaku ketika perang saudara negara di Asia Tenggara itu memasuki tahun keempat.
Serangan udara tersebut menyasarkan kampung Kyauk Ni Maw di kawasan perbandaran Yanbye pada petang Rabu, memusnahkan kira-kira 500 rumah dan meragut lebih 40 nyawa, menurut kenyataan PBB dan Kerajaan Perpaduan Nasional awam pada Jumaat.
Tentera Arakan, sebuah kumpulan bersenjata etnik yang terlibat dalam konflik dengan junta Myanmar, turut melaporkan insiden tersebut, dengan mengeluarkan nama 26 penduduk beragama Islam yang terbunuh dan 12 yang lain tercedera.
Reuters belum dapat mengesahkan laporan ini secara bebas. Kerajaan junta belum memberi sebarang respons terhadap permintaan untuk komen mengenai serangan itu.
Myanmar bergolak
Myanmar berada dalam kekacauan sejak tenteranya menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik iaitu pimpinan pemenang Nobel Aung San Suu Kyi pada 2021, sekaligus mencetuskan protes besar-besaran yang kemudiannya menjadi pemberontakan bersenjata di banyak kawasan.
Kempen Blood Money, sebuah gabungan aktivis Myanmar yang berusaha memutuskan sumber pendapatan tentera junta, menggesa kerajaan antarabangsa untuk segera mengenakan sekatan terhadap entiti yang membekalkan bahan api penerbangan kepada junta itu.
“Apabila sokongan ini dihentikan, barulah serangan udara benar-benar akan berakhir,” kata Mulan, jurucakap Kempen Blood Money yang hanya dikenali dengan satu nama.
SUMBER: REUTERS















