Jualan bahan api luar biasa di sempadan Malaysia–Thailand cetus kebimbangan
Pemantauan turut dijalankan di Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli, dengan siasatan meneliti sama ada angka jualan mencerminkan trend sebenar penggunaan tempatan atau dipengaruhi faktor lain.
Corak jualan bahan api yang luar biasa di beberapa stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia–Thailand mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi, menurut laporan Bernama.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Azman Adam berkata sembilan stesen minyak dikenal pasti merekodkan jualan jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain, namun angka tersebut merosot dengan ketara sebaik pegawai penguat kuasa ditempatkan di situ, sekali gus memberi petunjuk aktiviti yang tidak normal.
Beliau berkata pemantauan turut dijalankan di Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli, dengan siasatan meneliti sama ada angka jualan mencerminkan penggunaan tempatan sebenar atau dipengaruhi faktor lain.
“Siasatan lanjut merangkumi analisis profil penduduk, aktiviti ekonomi setempat serta corak pergerakan kenderaan di kawasan sempadan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dibuat berasaskan data dan penilaian menyeluruh,” katanya selepas lawatan ke Kompleks ICQS Rantau Panjang semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata hampir RM179 juta barangan kawalan bersubsidi dirampas di seluruh negara menerusi Ops Tiris dari 2024 hingga Januari 2026, dengan nilai rampasan RM91.59 juta (2024), RM81.69 juta (2025) dan RM5.73 juta pada Januari tahun ini.
Beliau memaklumkan Ops Tiris 3.0 melibatkan 93,887 pemeriksaan, menghasilkan 5,269 kes dan 660 tangkapan, selain penurunan kes sebanyak 14.2% dan nilai rampasan susut 10.8% tahun lalu, manakala petrol, diesel dan minyak masak kekal antara barangan paling kerap diselewengkan walaupun trend menunjukkan penurunan sejak 2025.