Operasi mencari mangsa bot karam di perairan Langkawi diteruskan, kawasan pencarian diperluas
Operasi dilancarkan selepas laporan mendakwa salah satu daripada tiga bot yang membawa kira-kira 300 migran karam di perairan Pulau Tarutao berhampiran sempadan maritim Thailand-Malaysia.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa bot karam di perairan Langkawi memasuki hari kedua pada Isnin, dengan kawasan pencarian diperluaskan meliputi 170 batu nautika persegi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan memaklumkan ia telah menggerakkan lima aset miliknya iaitu KM Siangin, Perkasa 1224, Petir 81, Perkasa 1226 dan CL 415 – SUMS APMM.
Turut terlibat, Pasukan Polis Marin Wilayah Satu dengan tiga aset (PSC 20, RH 68 dan PLC 5), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kapal KD Ledang, Jabatan Perikanan dengan DOF 2511, Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bot Kevlar serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bot kembung tegar.
Operasi dilancarkan selepas laporan mendakwa salah satu daripada tiga bot yang membawa kira-kira 300 migran karam di perairan Pulau Tarutao berhampiran sempadan maritim Thailand-Malaysia.
Setakat jam 7 petang pada Ahad, tujuh mangsa disahkan maut manakala 13 lagi berjaya diselamatkan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, hasil pencarian pada hari ini, telah menemukan sembilan PATI terdiri daripada tiga mangsa yang masih hidup dan enam dilaporkan telah meninggal dunia di sekitar perairan Langkawi.
“Pada jam 3.11 petang, Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi mendapat panggilan daripada JKK Kuala Muda memberitahu terlihat dua lelaki terapung di kawasan tuas Kuala Muda Teriang dan seterusnya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan,” menurut kenyataan APMM.
Bot PERKASA 26 telah diaturgerak ke kawasan dilaporkan bagi menyelamatkan mangsa dan membawa ke Jeti Maritim malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada IPD Kuah untuk siasatan lanjut.
“Pada jam 5 petang Bot PETIR 81 menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang terapung di laut dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Teriang,” jelas Romli.
Selang sejam selepas itu, APPM melaporkan bot DOF 2511 memaklumkan telah menemui satu mangsa lelaki terapung dan seterusnya dibawa ke jeti Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“30 minit kemudian, bot DOF 2511 turut menemui mayat seorang wanita terapung di laut dan seterusnya dibawa ke jeti Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.
Di lokasi berasingan, KM SIANGIN memaklumkan telah menemui empat mayat wanita dan seterusnya bot BENTENG 7 telah mengambil mayat-mayat tersebut dan dibawa ke Jeti kilang Semen Teluk Ewa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.