Malaysia berdepan risiko kejutan ekonomi, keselamatan jika konflik AS-Iran memuncak – Tok Mat
Salah satu risiko terbesar adalah penutupan Selat Hormuz, laluan kritikal bagi penghantaran minyak dan gas dunia, yang pasti akan mengakibatkan lonjakan harga komoditi secara mendadak.
Malaysia berisiko berdepan kesan ekonomi dan keselamatan sekiranya ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran meletus menjadi konflik bersenjata, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.
Beliau menegaskan sebarang peperangan di Asia Barat akan mengganggu bekalan tenaga global dan menjejaskan perdagangan antarabangsa.
"Peperangan yang melibatkan Iran dan AS akan memberi kesan yang meluas, bukan sahaja kepada wilayah tersebut tetapi juga kepada dunia dan Malaysia," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Mohamad, ketegangan semakin meruncing susulan pendirian keras Washington terhadap program nuklear Tehran serta laporan peningkatan kerahan tentera AS di Teluk Parsi.
Walau bagaimanapun, beliau berkata saluran diplomatik masih terbuka melalui rundingan yang dipermudahkan oleh Oman, selain perbincangan susulan yang diadakan di Geneva baru-baru ini.
Beliau menyuarakan harapan agar kedua-dua pihak bertenang dan memilih jalan diplomasi, namun memberi amaran bahawa kesilapan perhitungan boleh mencetuskan konflik lebih buruk.
Salah satu risiko terbesar adalah penutupan Selat Hormuz, laluan kritikal bagi penghantaran minyak dan gas dunia, yang pasti akan mengakibatkan lonjakan harga komoditi secara mendadak.
Mohamad menyamakan potensi krisis ini dengan gangguan rantaian bekalan yang dicetuskan oleh perang Rusia-Ukraine.
Sekiranya Selat Hormuz disekat, bekalan tenaga global akan terjejas teruk, sekaligus menambah tekanan ekonomi sedia ada yang kini sedang dihadapi oleh banyak negara, termasuk Malaysia.
Menyentuh mengenai pendirian Malaysia, beliau menegaskan kerajaan kekal konsisten dalam memperjuangkan keamanan dan menolak sebarang bentuk keganasan.
Dasar luar Malaysia, katanya, akan terus berpaksikan neutraliti serta keamanan, sambil menyeru semua pihak agar mengamalkan kawalan diri bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan.