Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan tiga negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, berkuat kuasa sehingga tengah hari Jumaat.
Dalam kenyataan di Facebook, MetMalaysia memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melanda Bentong di Pahang, selain beberapa kawasan di Selangor termasuk Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Amaran sama turut dikeluarkan untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di Negeri Sembilan, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Jelebu, Seremban dan Port Dickson.
MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku atau berterusan melebihi satu jam, dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap amaran yang dikeluarkan.











